Pengundi 18 masih tak kenal logo parti

in Politik by

Mohamad Armi

DUNGUN – Pengundi berusia 18 tahun atau pengundi baharu di kawasan ini dilihat masih keliru untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini kerana ada yang masih tidak kenal bendera dan tertukar logo sesebuah parti.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Dungun, Mohamad Armi Hitam berkata, hasil program turun padang dan pertemuan dengan golongan berkenaan didapati pemahaman politik mereka berada pada tahap membimbangkan.

“Ada kebaikan dan keburukannya apabila perkara ini diperkenalkan kerana kita perlu bekerja keras untuk memberi kefahaman kepada mereka.

“Apabila kita dedahkan mengenai politik dan penjelasan tentang sejarah penubuhan serta perjuangan parti, mereka masih lagi tidak tahu.

“Anak muda tinggal di kampung pemahaman mereka lebih baik, tetapi yang tinggal di bandar memang perlu lebih perhatian,” katanya.

Menurut beliau, untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada golongan ini, pihaknya memerlukan bajet yang agak besar.

“Bajet kita tidak mencukupi tetapi kita tetap bersemangat dan pengundi 21 tahun ke atas dilihat begitu teruja untuk berjuang bersama BN,” katanya.

Beliau yang juga pemegang portfolio Bendera, Poster, Sepanduk Parlimen Dungun berkata, sebanyak 30,000 bendera parti berkenaan diagih untuk dipasang di lokasi strategik.

“Sepanjang tempoh sebelum penamaan kita pasang bendera secara santai-santai sahaja dan mungkin akan lebih agresif sebaik sahaja calon diumumkan,” katanya.