RoS sahkan Larry masih Presiden PBM

in Politik by

PBM berdepan kemelut dalaman melibatkan Larry Sng dan Zuraida Kamaruddin.

SHAH ALAM – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan Datuk Larry Sng Wei Shien masih lagi Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) berdasarkan rekod yang ada di jabatan itu.

Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad berkata, berdasarkan rekod Larry masih presiden dan jika ada pertikaian mengenai jawatan itu, ia perlu diselesaikan di peringkat parti tersebut.

Beliau berkata, pertikaian mengenai jawatan presiden itu adalah hal dalaman parti dan tidak membabitkan RoS.

“Itu hal dalaman parti mereka, jika ada pertikaian, mereka kena selesaikan sendiri dan ini tidak membabitkan RoS,” katanya lapor sebuah portal berita pada Ahad.

Sebelum ini, Larry yang mendakwa masih Presiden PBM yang sah, menggantung Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai ahli parti itu.

Dalam kenyataan di akaun Facebooknya, Larry juga menggantung 12 ahli Majlis Tertinggi PBM.

12 individu itu ialah Haniza Mohamad Taha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Datuk Chua Lian Chye, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Sementara itu, Haniza turut dilaporkan berkata, pada pertemuan kelmarin RoS tidak menyatakan apa-apa mengenai kedudukan Larry.

Beliau juga berasa terkejut dengan perkembangan itu kerana tidak dimaklumkan secara rasmi mengenainya.

“Kelmarin kami mengadakan pertemuan dengan RoS dan perkara ini (Larry sebagai presiden parti) tidak ditimbulkan dan mengapa orang luar parti lebih tahu perkara ini,” ujarnya.

Haniza juga menyatakan bahawa semua 12 ahli Majlis Tertinggi PBM yang kini digantung parti itu masih ahli parti dan tidak timbul isu mahu bertanding atas tiket bebas.

“Kami semua masih ahli PBM, mengapa pula nak bertanding atas tiket bebas,” katanya.