'Semangat tuan guru kuat, mampu berkempen dengan baik'

in Politik by

Laporan Sinar Harian.
Muhammad Khalil (tengah) bersama ibu dan isterinya selepas dianugerahkan Doktor Falsafah sempena Majlis Idul Ilmi UniSZA Kali ke-14 pada Ahad.

KUALA NERUS – Kelebihan semangat yang ada pada diri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang diyakini mampu berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan baik.

Menurut Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, beliau tidak nampak masalah kesihatan atau usia bapanya menjadi halangan dalam menghadapi PRU15 apabila disahkan sebagai calon Pas bagi Parlimen Marang.

“Tuan guru ini ada satu kelebihan dia. Dia seorang yang sangat bersemangat dan saya tak rasa kesihatan akan menjadi halangan.

“Kalau sakit, semua orang sakit. Kalau faktor umur, Tun Dr Mahathir Mohamad pun boleh jadi Perdana Menteri kedua,” katanya ketika sidang akhbar selepas dianugerahkan Doktor Falsafah sempena Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kali ke-14 di sini pada Ahad.

Pada masa sama, mengulas kedudukan beliau sendiri dalam PRU15, Muhammad Khalil belum memberi sebarang petunjuk sebaliknya meminta pihak media tunggu pengumuman yang akan dibuat Pas pada 3 November ini.

**media[1962510]**

“Kita dalam parti Pas agak berbeza dengan parti-parti lain. Kami sebagai kepimpinan ahli Pas sebenarnya apabila tidak dicalonkan, itu lebih baik.

“Apa pun kita serah kepada pemimpin tentukan yang terbaik. Kerja dalam parti ini sangat luas untuk parti dan masyarakat dalam ruang lingkup masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan Abdul Hadi akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang pada PRU15.