Tangani segera isu kritikal rakyat

in Nasional by

Kerajaan perlu segera menangani masalah kos sara hidup yang tinggi dalam kalangan rakyat.Muhammed Abdul Khalid

SHAH ALAM – Kerajaan yang dibentuk melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak harus meletakkan keutamaan menyelesaikan isu-isu kritikal yang telah disuarakan rakyat.

Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, jika tidak dikhuatiri keadaan akan menjadi lebih teruk memandangkan situasi ekonomi dunia dijangka lebih buruk pada tahun depan.

“Dengan situasi ekonomi dunia yang dijangka lebih buruk pada tahun depan, prestasi kewangan negara untuk membantu rakyat akan pasti terjejas. Ini sekali gus memberi tekanan kepada golongan susah dan kelas pertengahan berbanding golongan kaya.

“Dasar sistem bantuan dan perlindungan sosial juga harus dirombak segera dan bantuan haruslah berdasarkan life cycle.

“Contohnya, ketika kecil diberi bantuan kepada ibu mengandung dan bayi, seterusnya bantuan di peringkat kanak-kanak dan kemudian sistem yang lebih menyeluruh apabila sudah pencen seperti bantuan untuk warga tua, ” katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas hasil kaji selidik mega, Kaji Selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 hasil kolaborasi tiga firma penyelidikan iaitu Ilham Centre, O2 Research Malaysia (O2) dan Huayan Policy Institute Centre for Malaysia Chinese Studies (Huayan).

Hasil kaji selidik itu merumuskan lima isu utama yang harus diselesaikan pemimpin iaitu kos sara hidup, ekonomi, peluang pekerjaan dan gaji, pendidikan, kestabilan politik dan hubungan kaum.

**media[1962056]**

Dalam pada itu penganalisis ekonomi itu menegaskan, masih ramai tidak berpuas hati dengan isu kos sara hidup dan harga barangan walaupun kerajaan telah memperuntukkan subsidi bantuan besar.

Ini kerana katanya, bantuan disalurkan kerajaan tidak memanfaatkan golongan sasar yang betul.

“Walaupun kerajaan telah memperuntukkan subsidi terbesar dalam sejarah negara bernilai RM80 bilion untuk membantu rakyat namun ramai masih tidak berpuas hati kerana majoriti bantuan diberikan bukan kepada golongan susah.

“Contoh mudah, daripada RM80 bilion ini, sebahagian besarnya adalah subsidi minyak yang lebih memanfaatkan golongan kaya,” katanya.

Muhammed turut menekankan kepentingan memilih pemimpin yang memahami isu-isu rakyat agar dapat membuat dasar lebih responsif terhadap kehendak mereka.

“Kalau hendak mandi, pertama cari teluk, kedua cari pantai. Kalau hendak cari pemimpin, pertama cari yang elok, kedua cari yang pandai. Jika cari pemimpin tidak elok, maka dasar dibuat juga tidak elok,” kongsinya.

**media[1962022]**