Tragedi Itaewon: Rakyat Malaysia boleh hubungi kedutaan

in Nasional by

Laporan Sinar Harian pada Ahad berhubung tragedi yang berlaku Sabtu malam.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia di Korea Selatan yang ingin mendapatkan maklumat terkini atau memerlukan bantuan konsular selepas kejadian rempuhan maut di Itaewon, Seoul pada Sabtu boleh menghubungi kedutaan menerusi talian +8210 8974 8699, menurut kedutaan di Instagram pada Ahad.

Kedutaan memaklumkan pihaknya kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan serta mengikuti perkembangan terkini tragedi rempuhan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 151 nyawa ketika sambutan Halloween pada Sabtu malam.

Sementara itu, 19 korban dikenal pasti sebagai warga asing berasal dari Iran, Uzbekistan, China dan Norway, manakala 82 lagi dilaporkan cedera.

Mereka yang terbunuh terdiri 97 perempuan dan 54 lelaki, menurut Agensi Berita Yonhap.

Presiden Yoon Suk Yeol dalam ucapannya secara langsung dari pejabat presiden berkata: “tragedi dan bencana pada Sabtu itu tidak sepatutnya berlaku.”

Presiden juga mengumumkan negara berkabung susulan kejadian itu.

Rempuhan itu disifatkan insiden terburuk di Korea Selatan sejak tragedi feri Sewol karam pada 2014 mengorbankan 304 nyawa, kebanyakannya pelajar sekolah menengah.

Sambutan itu merupakan acara Halloween pertama di Seoul dalam tempoh tiga tahun selepas negara itu menarik balik kebanyakan sekatan Covid-19.

Punca sebenar kejadian masih disiasat. – Bernama