Warisan tampil tiga calon muda bagi kawasan bandar

in Politik by

Mohd Shafie bersama calon Parlimen Kota Kinabalu, Amanda selepas majlis makan malam ‘Reset Sabah’ di Dewan Hakka, Likas, Kota Kinabalu pada Ahad.

KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menampilkan tiga calon muda mewakili partinya bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Dalam pengumumannya pada malam Ahad, beliau menampilkan calon bagi kerusi kawasan bandar yang dikuasai oleh masyarakat kaum Cina di negeri ini.

“Untuk Sandakan, calon yang akan bertanding atas tiket Warisan adalah anak muda, Alex Thien, 31, memiliki ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan kimia.

“Calon kita dari Tawau, seorang anak muda (Chen Ket Chuin) yang akan saya tampilkan mempunyai ijazah undang-undang dari Cardif University, seorang peguam berusia 28 tahun.

“Di Kota Kinabalu Amanda Yeo, 29, anak muda yang mempunyai ijazah sarjana dalam bidang kewangan dan pernah bertugas di pelbagai kementerian dan saya yakin anak muda ini boleh bersuara di Parlimen persoalkan belanjawan-belanjawan yang ada, bukan kepada Sabah tetapi untuk rakyat di negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam ‘Reset Sabah’ di Dewan Hakka, Likas pada Ahad.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita adakah beliau yakin kesemua anak muda itu mampu merampas ketiga-tiga kerusi yang bukan milik Warisan, beliau yakin dengan cabaran yang mereka hadapi.

“Bukan kerana mereka muda mereka tidak boleh buat, akan banyak pertimbangan pengundi-pengundi bukan hanya berdasarkan kerusi ini bukan milik kita.

“Sebelum kita bertanding dulu pun ada kerusi bukan milik kita, mereka menang sebab kita bantu. Dulu pun takkan bantuan kita, kita tak boleh menang kalau sekiranya kita bantu calon kita pula,” katanya.

Sebelum itu, Warisan setakat ini sudah mengumumkan seramai 12 calon daripada 26 kerusi yang akan mereka bertanding di Sabah dan Labuan.