Aksi pemanas badan: Pan-gon ada sebab pilih Maldives, Kemboja

in Sukan by

Kim Pan-gon – Foto Bernama

JURULATIH skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mempunyai sebab tersendiri apabila memilih Kemboja dan Maldives sebagai lawan bagi aksi pemanas badan menjelang Piala AFF 2022 hujung tahun ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu menjelaskan kedua-dua lawan itu dipilih berdasarkan kesesuaian jadual perjalanan skuad kebangsaan.

Selain itu katanya, lawan tersebut sangat sesuai sebagai pasukan uji cuba bagi mengenal pasti beberapa kelemahan sebelum beraksi di pertandingan yang sebenar.

Jelas Pan-gon, walaupun kedua-dua pasukan itu berada di kedudukan lebih rendah berbanding skuad Harimau Malaya di ranking 146 dunia, dengan Kemboja di ranking 177 dan Maldives di ranking 154, pemilihan tersebut adalah berpandukan susunan perjalanan pasukan di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 nanti.

“Kemboja merupakan salah satu pasukan dari Kumpulan A. Pemilihan pasukan ini dilihat bersesuaian dalam usaha kita untuk mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diperbaiki selepas pasukan kembali berkumpul untuk kem latihan pusat.

“Kita telah bermain perlawanan menentang Thailand dan Filipina tahun ini dan percaya Kemboja akan menjadi pilihan lawan yang baik untuk persiapan kita kali ini.

“Bagi pertemuan dengan Maldives, lawan yang biarpun bukan dari Asia Tenggara tetapi merupakan juara dua kali Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF) pada 2008 dan 2018, selain memiliki corak permainan yang hampir sama dengan pasukan-pasukan Asia Tenggara yang lain.

“Selain itu, Maldives memenangi kedua-dua perlawanan mereka ketika FIFA Days pada September dan merupakan salah satu pasukan terbaru yang telah menentang Laos, pasukan yang akan kita hadapi pada kejohanan nanti,” katanya.

Skuad kebangsaan akan berdepan Kemboja pada 9 Disember ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil diikuti aksi menentang Maldives pada 4 Disember di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Harimau Malaya bakal membuka kempen Piala AFF 2022 bertemu Myanmar pada 21 Disember di gelanggang lawan, sebelum bertemu Laos pada 24 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Seterusnya pasukan negara akan berdepan Vietnam pada 27 Disember di tempat lawan sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang Singapura 3 Januari 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.