Azmin, Amirudin saling berpelukan

in Politik by

Amirudin bersama Mohamed Azmin saling bersapa dan berpelukan ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon di Dewan SMK Sungai Pusu di sini.

GOMBAK – Calon Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari dari Pakatan Harapan (PH) bersama penyandang Parlimen tersebut, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali saling bersapa dan berpelukan ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon di Dewan SMK Sungai Pusu di sini.

Mereka tiba sekitar jam 8.30 pagi diiringi penyokong masing-masing sebelum dilihat sama-sama menunggu pintu pusat penamaan calon dibuka jam 9 pagi.

Biarpun berbeza ideologi namun kedua-dua calon tersebut bersikap profesional dan dilihat mesra di hadapan media.

Amirudin diiringi isteri, Masdiana Muhamad sementara Mohamed Azmin turut ditemani isteri, Shamsidar Taharin.

Setakat jam 9.30 pagi, seramai lima calon telah hadir. Calon pertama tiba adalah Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Parti Pejuang Tanah Air) disusuli calon Bebas, Ir Zulkifli Ahmad seterusnya Amirudin (PH) dan Mohamed Azmin (Perikatan Nasional) serta yang terakhir Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN).

Difahamkan selebriti sensasi, Azwan Ali yang juga adik kepada Mohamed Azmin turut hadir di lokasi namun setakat ini belum memasuki pusat penamaan calon tersebut.

Pada Jumaat, Azwan mengesahkan akan bertanding di Parlimen Gombak bagi memberikan cabaran buat abangnya pada PRU15.