Banjir kilat: Wanita berenang 'ditemani' ular tedung

in Edisi Perak by

Gambar hiasan.
BUKIT GANTANG – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila ‘ditemani’ ular tedung sewaktu berenang menyelamatkan diri dalam kejadian banjir kilat di Kampung Senduk Seberang di sini petang semalam.

Faridah Amin, 59, berkata, dia terpaksa berenang ke tempat lebih tinggi kerana rumahnya dinaiki air dan mengharapkan bantuan orang ramai kerana menggunakan kerusi roda selepas patah kedua-dua belah kaki akibat jatuh motor.

“Hujan tidak berhenti selepas Asar, ditambah pula dengan air laut pasang dan sungai bertembung sehingga berlaku banjir. Apabila lihat air semakin tinggi, saya terpaksa merangkak memohon bantuan daripada orang kampung kerana tidak boleh berjalan.

“Saya panik sebab ketika berenang ada ular tedung yang mungkin datang dari kawasan kebun. Saya cepat-cepat berenang ke tempat selamat sebelum diselamatkan jiran berdekatan,” katanya kepada Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Al-Wusta di sini pada Sabtu.

Seorang lagi mangsa, Maimun Abdul Rahman, 53, berkata, rumahnya di Kampung Senduk Seberang sering berlaku banjir namun tidak seteruk ini, sehingga mencapai paras dada.

Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam, sehingga kini tiga daripada tujuh PPS masih dibuka untuk menempatkan 194 mangsa ekoran banjir kilat di sekitar Taiping sejak petang semalam iaitu PPS Masjid Al-Wusta, Sekolah Kebangsaan Matang Gelugur dan Surau Kampung Perak. – Bernama