Bekas Pengarah SPRM ikrar perangi rasuah habis-habisan

in Politik by

LatipahLatipah (tengah) ketika tiba di Pusat Penamaan Calon Parlimen Sik pada Sabtu

SIK – Perangi rasuah dalam kalangan pemimpin berkuasa antara ikrar calon PH Parlimen Sik yang juga merupakan mantan pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Datuk Latipah Md Yatim, 65, berjanji akan memastikan segala perbuatan rasuah yang didalangi individu tertentu akan digempur sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Beliau yang berpengalaman sebagai Pengarah SPRM di Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur selain meneruskan karier sebagai Ketua Pegawai Integriti dan Projek Khas Lembaga Tabung Haji berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah platform terbaik bagi dirinya untuk meneruskan perjuangan perangi rasuah.

“Saya berjanji sekiranya diizinkan ALLAH untuk menang, saya akan pastikan segala kebocoran, pemalsuan dan aktiviti rasuah yang telah dilakukan oleh orang tidak bertanggungjawab terutama pemimpin berkuasa, akan kita gempurkan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika selesai proses penamaan calon di Parlimen Sik pada Sabtu.

**media[1971109]**

“Motivasi saya adalah untuk memastikan rakyat di Sik sedar siapa pemimpin yang betul yang boleh membela nasib mereka.

“Setiap orang mesti ada sikap jihad perangi rasuah dan kita akan gempur habis-habisan,” katanya.

Beliau memaklumkan, kebanyakan unsur rasuah yang berterusan telah memberi kesan negatif terutama dalam projek pembangunan infrastruktur dan jalan raya sehingga merugikan rakyat.

“Selain itu, Sik sinonim dengan banjir, yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti penebangan hutan secara haram dan tidak terkawal.

“Kita juga ada kes perlombongan unsur nadir bumi (REE) baru-baru ini, kita khuatir isu ini boleh membawa masalah pencemaran air sekali gus berbahaya kepada manusia,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa SPRM Kedah kini sedang melakukan siasatan awal berhubung dakwaan berlaku kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, pihaknya mengambil inisiatif menjalankan siasatan awal bagi mengesahkan sama ada terdapat isu pelanggaran undang-undang berkaitan bawah bidang kuasa SPRM.