Ismail wakili PN, Tuan Ibrahim hantar wakil serah borang

in Politik by

Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib

KUANTAN – Kurang 24 jam mengesahkan beliau kini bersama Pas, penyandang Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 bagi mempertahan kerusi yang dimenangi atas tiket BN sejak empat penggal lepas.

Ismail berdepan saingan tiga pencabar termasuk calon BN iaitu Pengerusi Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, yang sebelum ini menewaskan beliau dalam persaingan merebut jawatan Ketua UMNO Maran semasa pemilihan parti pada 2018.

Tumpuan proses penamaan calon PRU15 di Pahang juga terarah kepada Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tun Man yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka kerana tidak hadir di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis sebaliknya menghantar borang menerusi wakil beliau iaitu Saludin Endol yang merupakan calon di DUN Cheka pada pilihan raya umum 2018.

Ketidakhadiran Tuan Ibrahim, yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, adalah kerana beliau berada di Kelantan bagi proses penamaan calon di Parlimen Kubang Kerian bagi mempertahan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum lepas.

Bagaimanapun, Saludin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Lipis, tidak dibenarkan memasuki pusat penamaan calon sebaliknya hanya pencadang serta penyokong Tuan Ibrahim iaitu Muhaider Mohamed Kasim dan Mohd Shakri Yusoh dibenar menyelesaikan urusan berkaitan proses penamaan itu.

Turut menjadi tumpuan penampilan anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Mohamad Nizar yang memasuki ‘gelanggang’ pilihan raya buat kali pertama.

Beliau bakal berentap di DUN Peramu Jaya ‘menggantikan’ tempat penyandangnya, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali yang mempertahan kerusi Parlimen Pekan yang disandang bekas pemimpin negara itu.

Parlimen Bentong pula menarik perhatian dengan ‘kepulangan’ Tan Sri Liow Tiong Lai yang mempunyai misi peribadi merampas semula kerusi itu daripada Pakatan Harapan (PH) selepas tewas pada pilihan raya umum 2018 buat kali pertama sejak memenanginya pada 1999.

Bagaimanapun, Tiong Lai yang pernah membarisi Kabinet kerajaan tidak berdepan laluan mudah kerana perlu menentang empat pencabar termasuk Wong Tack yang menewaskan beliau pada 2018.

Tiga lagi pencabar Tiong Lai ialah personaliti DAP Young Shefura Othman (mewakili PH), Roslan Hasan (PN) dan Mohd Khalil Abdul Hamid yang bertanding atas tiket Bebas menggunakan simbol pen.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang mempertahan kerusi DUN Jelai, berdepan dua pencabar iaitu Ismail Mohd Hussin daripada PH dan Dr Abdul Rasid Wan Ismail yang mewakili PN.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pula berdepan saingan empat penjuru bagi mempertahan Parlimen Indera Mahkota yang dimenangi menerusi tiket PH sebelum memilih untuk keluar parti pada 2020 dan menyertai Bersatu.

Setakat ini, dua pencalonan di Pahang ditolak termasuk calon PH di DUN Kemayan iaitu bekas senator bagi masyarakat Orang Asli, Manolan Mohamad.

Difahamkan perkara itu berlaku kerana alamat di kad pengenalannya adalah di luar Pahang dan DUN Kemayan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Khaizulnizam Mohamad Zuldin yang mewakili BN dan calon PN Shapuan Hussin.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 19 November sebagai hari pengundian manakala pengundian awal pada 15 November ini. – Bernama