Nancy azam bangun sektor pelancongan di Santubong

in Politik by

Nancy (tengah) ketika diumumkan calon bagi Parlimen Santubong mewakili GPS.

KUCHING – Parlimen Santubong memiliki potensi tersendiri namun masih memerlukan peningkatan dari segi pembangunan untuk sektor pelancongan.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau komited untuk membawa lebih banyak perubahan di kawasan tersebut terutama dari aspek pelancongan.

“Parlimen Santubong mempunyai tarikan tersendiri dan perlu dibangunkan dari segi pembangunan sektor pelancongan atau erti kata lain ia merupakan kawasan ‘Toursim Belt’.

“Meskipun bukan perkara mudah untuk mewakili kawasan ini, saya berharap dapat membawa lebih banyak pembangunan dari segi pelancongan, budaya dan kesenian terutama di kawasan pinggir bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon bagi Parlimen Santubong di Dewan Sri Melati Institusi Kemahiran Malaysia (IKM) Kuching di sini pada Sabtu.

Pada masa sama, Nancy yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan turut berterima kasih kepada penyandang kerusi Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana banyak menyumbang kepada pembangunan di kawasannya serta negara.

“Saya berharap sokongan yang pernah diberikan kepada Wan Junaidi sebelum ini dapat diberikan kepada saya untuk terus memastikan kawasan ini kekal sebagai kubu kuat GPS.

“Saya sedar bahawa kasut yang ditinggalkan oleh beliau amat besar untuk diisi, namun saya akan melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Parlimen Santubong menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara GPS, calon Bebas, Affendi Jeman dan calon Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Zen Peli.