Penyokong PN-BN berbalas sorakan, 'ejekan'

in Politik by

Penyokong BN dan PN hadir memberi sokongan kepada calon mereka di pusat penamaan calon.

PAGOH – Suasana di pusat penamaan calon di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Pagoh sedikit tegang selepas penyokong Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) melaungkan perkataan penyamun, perompak, sakau, katak dam kaki kencing.

Penyokong BN dan PN masing-masing bersorak dan berbalas ‘ejekan’ itu antara satu sama lain.

Keadaan itu berlaku selepas penyokong PN melaungkan perkataan penyamun dan perompak sebelum dibalas penyokong BN dengan melaungkan perkataan katak dan ‘kaki kencing’.

Biarpun ditempatkan secara bersebelahan dengan penjarakan kira-kira lima meter, keadaan masih terkawal dengan anggota polis ditempatkan di kawasan terbabit bagi mengelak kejadiaan tidak diingini.

Bagaimanapun, suasana ruang berhimpun penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak semeriah penyokong BN dan PN apabila hanya dihadiri kira-kira 50 orang.

Terdahulu, tiga calon kerusi Parlimen Pagoh masing-masing dari PN, BN dan PH tiba di pusat penamaan calon bagi menyerahkan borang pencalonan.

Penyandang kerusi itu yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terawal menyerahkan borang pencalonannya sebaik pusat penamaan dibuka.

Muhyiddin tiba pada 8.57 pagi dengan memakai baju Melayu teluk belanga bewarna biru tua bersama bekas Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Calon PH pula, Iskandar Shah Abd Rahman menjadi individu kedua tiba di pusat penamaan calon diikuti calon BN, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Razali tiba pada jam 9.08 pagi bersama sekumpulan penyokongnya dengan menaiki motosikal dan diiringi Ketua Umno bahagian Pagoh, Ismail Mohamed.

Pegawai Pengurus bahagian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pagoh, Muhammad Helmi Yakub turut mengumumkan waktu penerimaan borang calon tamat jam 10 pagi tadi.

Dalam pada itu, Helmi berkata kerusi Parlimen Pagoh yang disandang Muhyiddin menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muhyiddin dicabar Razali yang mewakili BN dan Iskandar Shah bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Senarai rasmi calon itu diumumkan oleh Helmi di Pusat Konvensyen Tinggi (KPT) Hub Universiti Pagoh selepas proses penamaan calon tamat pada jam 10 pagi tadi.

Terdahulu, Helmi mengumumkan ketiga-tiga calon layak bertanding dan berkata Muhyiddin antara yang awal menghantar borang pencalonan iaitu pada jam 9.03 pagi dan dikuti Iskandar jam 9.08 pagi dan Razali 9.12 pagi.

Kerusi Parlimen Pagoh kini disandang Muhyiddin yang menang pada PRU14 dengan majoriti 6,927 undi menewaskan calon PAS, Ahmad Nawfal Mahfodz dan dan calon BN, Ismail Mohamed.