PN dijangka lancar manifesto PRU15 esok

in Politik by

Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Foto Bernama

PAGOH – Ekonomi, alam sekitar, pendidikan dan wanita adalah antara yang akan dititikberatkan dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka dilancarkan di Kuala Lumpur, esok.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu kini sedang memperincikan semua perkara yang disifatkan penting untuk diambil kira supaya boleh dilaksanakan dan ditunaikan untuk rakyat manakala aspek lain yang akan dilihat ialah isu sosial, alam sekitar dan lain-lain perkara.

“Saya nak menyatakan bahawa kami tidak mahu berjanji. Kami akan usahakan dan laksanakan sepenuhnya apa yang kami janjikan dalam manifesto.

“Ini akan kami maklumkan dan berharap ia mendapat tarikan pengundi di seluruh negara,” kata beliau kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Pagoh di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini pada Sabtu.

Penyandang kerusi Pagoh itu berkata, beliau pernah dinasihati supaya berpindah ke kawasan Parlimen lain namun enggan berbuat demikian.

“Pagoh dan masyarakatnya ada tempat istimewa di hati saya. Dalam sejarah politik saya selama lebih 40 tahun, saya tidak pernah berpindah ke kawasan Parlimen lain.

“Saya setia memberi khidmat kepada masyarakat di Pagoh dan pengundi di Pagoh juga sentiasa setia memberi sokongan kepada saya pada setiap kali pilihan raya. Terima kasih,” kata beliau lagi.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu itu berkata PN, yang dipimpinnya turut menawarkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil untuk semua rakyat.

Beliau akan menghadapi pertandingan tiga penjuru, bertemu calon BN iaitu bekas Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim dan calon Pakatan Harapan dari PKR, Iskandar Shah Abdul Rahman.

Terdahulu, pemimpin PN kelahiran Muar itu menjadi calon pertama yang menghantar borang pencalonan pada 9.03 pagi, diikuti Iskandar Shah, lima minit kemudian dan Razali pada jam 9.12 pagi.

Kira-kira 1,000 penyokong parti yang bertanding telah berkumpul di pekarangan kompleks itu sejak jam 9 pagi.

Muhyiddin, 75, memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada PRU lepas dengan majoriti 6,927 undi, sekali gus menewaskan calon Pas, Ahmad Nawfal Mahfodz dan calon BN, Ismail Mohamed.- Bernama