PRU15: Proses penamaan calon di Pulau Pinang lancar

in Edisi by

Mohd ShuhailyProses penamaan calon di seluruh 13 pusat penamaan calon Pulau Pinang berjalan lancar tanpa kejadian tidak diingini berlaku.

GEORGETOWN – Proses penamaan calon di 13 pusat penamaan seluruh Pulau Pinang berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Ketua Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sehingga tengah hari Sabtu, polis hanya menerima satu laporan kesalahan berkaitan pemasangan bendera.

Bagaimanapun menurutnya, kesalahan itu adalah di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan satu kertas enkuiri polis (KEP) telah dibuka berhubung laporan itu.

“Kes ini akan dirujuk kepada PBT memandangkan ia di bawah bidang kuasa PBT. Lain-lain kes seperti pelanggaran peraturan pilihan raya, tidak ada sepanjang proses penamaan calon di 13 pusat penamaan di Pulau Pinang.

“Seramai 1,997 anggota, pegawai polis dan pegawai sokongan akan bertugas bermula hari ini sehingga tamat pilihan raya nanti. Polis Pulau Pinang berpuas hati dengan proses penamaan calon pada hari ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

**media[1971163]**

Beliau menambah, seramai 58 calon telah diterima dan layak bertanding bagi 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang.

“Pertarungan tiga penjuru melibatkan Parlimen Bukit Mertajam, Tanjong dan Bukit Gelugor manakala empat penjuru adalah Kepala Batas, Bagan, Permatang Pauh dan Nibong Tebal.

“Bagi Parlimen yang mempertaruhkan lima penjuru pula adalah Tasek Gelugor, Batu Kawan dan Bukit Bendera sementara enam penjuru adalah Balik Pulau, Bayan Baru dan Jelutong,” katanya.

Mohd Shuhaily turut berpesan kepada semua parti dan penyokong agar mematuhi peraturan pilihan raya bagi mengelakkan tindakan tegas diambil.

“Setiap calon yang bertanding perlu memohon permit daripada ketua polis daerah masing-masing. Kita telah menerima permit bermula hari ini (Sabtu) dan tiada jumlah tepat yang boleh saya dedahkan kerana ia melibatkan proses secara berterusan.

“Polis akan sentiasa memantau setiap aktiviti penyokong dan calon sepanjang pilihan raya ini. Saya minta supaya tidak terpengaruh dengan kejadian yang berlaku di negeri-negeri lain,” katanya.