Sungai Buloh pertarungan paling sengit dalam karier politik: KJ

in Politik by

Khairy Jamaluddin – Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

SUNGAI BULOH – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui berdepan pertarungan paling sengit dalam karier politiknya apabila menghadapi pertandingan tujuh penjuru bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau tidak menganggapnya sebagai satu kelemahan tetapi sebagai cabaran untuk membawa perjuangan BN ke kawasan bandar.

Saya menang tiga pilihan raya berturut-turut di Rembau, sekarang saya bertanding di kawasan yang kami kalah tiga pilihan raya berturut-turut.

“Tetapi saya menyahut caburan dan berharap penduduk Sungai Buloh akan memberi peluang kepada saya,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Kenanga, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling,U5 Subang Bestari di sini, pada Sabtu.

Ditanya mengenai spekulasi ia boleh menamatkan karier politiknya sekiranya beliau kalah, Khairy berkata: “Saya belum bersedia untuk bersara.”

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan penyandang tiga penggal Sungai Buloh, R. Sivarasa bahawa undi kepada Khairy bermakna undi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Khairy berkata ‘satu undi kepada KJ di Sungai Buloh adalah undi kepada KJ.’

“Naratif ini perlu dijelaskan sekarang juga. Calon Perdana Menteri BN adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan saya akan mendukung beliau sebagai calon Perdana Menteri seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid sendiri, tiada kekeliruan di situ,” kata beliau.

Kerusi Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketujuh-tujuh calon yang mengesahkan penyertaan mereka ialah Khairy Jamaluddin (BN-UMNO); Datuk R. Ramanan (PH-PKR); Mohd Ghazali Md Hamin (PN-Pas); Mohd Akmal Mohd Yusoff (GTA-Pejuang); Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff serta Nurhaslinda Basri.

Pengumuman pada jam 11 pagi itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Parlimen Sungai Buloh, Mohd Jusni Hashim.

Kesemua calon tiba kira-kira jam 8.30 hingga 8.45 pagi bersama penyokong dan pencadang masing-masing.