Amirudin berkempen seawal 4.30 pagi

in Politik by

Amirudin (kiri) bertemu pengundi Gombak. – Foto FB Amirudin Shari.Amirudin (kanan) menunaikan solat Subuh di Masjid Selayang Baru. – Foto FB Amirudin Shari.

HULU KELANG – Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari keluar rumah seawal jam 4.30 pagi untuk berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Selangor itu berkata, ceramah kelompok Pakatan Harapan (PH) yang diadakan pada jam 3 petang bertempat di Dataran Persatuan Penduduk Jalan AU2A/A adalah program ketujuh yang dihadirinya pada Ahad.

Menurutnya, tempoh berkempen 14 hari yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan digunakan semaksimum mungkin untuk berjumpa dengan pengundi.

“Saya mula (kempen) dari jam 4. 30 pagi dan sampailah sekarang (3 petang), adalah masa rehat kira-kira setengah jam ke sejam sebelum program diteruskan.

“Ini kerana kita (mahu) jumpa secara berdepan dan menemui masyarakat serta mahu menarik perhatian pengundi untuk turut serta pada PRU15,” katanya pada ceramah kelompok Pakatan Harapan (PH) yang diadakan pada jam 3 petang bertempat di Dataran Persatuan Penduduk Jalan AU2A/A, dekat sini.

Pada jam 5 pagi, Amirudin telah mengadakan lawatan ke pusat agihan Jelajah Ehsan Rakyat di Sri Ternak sebelum solat Subuh di Masjid Selayang Baru.

**media[1972558]**

Beliau kemudian menyantuni pengundi di DUN Hulu Kelang dengan bersarapan di Taman Melawati disusuli walkabout di medan selera Melawati, Kampung Fajar, Flat Taman Al Reduan dan menghadiri karnival ‘Mini Tarmiya 4 Wheel’.

Beliau berkata, kempen perlu dipergiatkan kerana Parlimen Gombak menyaksikan pertembungan lima penjuru termasuk persaingan dengan bekas kawan, lawan lama dan juga pendatang baharu.

Tambahnya, ‘maruah Gombak’ dipilih sebagai tema kempen PRU pada kali ini susulan tindakan sekumpulan pemimpin yang telah menyebabkan ketidakstabilan politik dan pentadbiran negara.

“Buat pertama kali rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih ketika penularan Covid-19. Kerajaan gagal memastikan rakyat ada makan.

“Siapa yang dalam kerajaan ketika itu? Mereka adalah pemimpin dan kabinet yang sama cuma yang bertukar adalah menteri.

“Dulu bersungguh-sungguh jatuhkan kerajaan PH kononnya kerana kerajaan tidak stabil, tetapi realitinya ketidakstabilan itu dibuat oleh kumpulan sama kerana mempunyai agenda tersendiri,” katanya.

Justeru, beliau meminta supaya pengundi memberikan mandat kepada PH untuk mentadbir kerajaan bagi mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negara.