Bukan larang masyarakat pelajari Islam: Mufti Pulau Pinang

in Edisi Utara by

Wan Salim

GEORGETOWN – Larangan terhadap 16 individu termasuk agamawan terkenal, Datuk Kazim Elias daripada menyampaikan ceramah, kuliah dan khutbah Jumaat di masjid dan surau di Pulau Pinang bukan bermakna ingin menghalang masyarakat Islam di negeri ini daripada mempelajari agama daripada mereka.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, dalam menjalani kehidupan bermasyarakat, manusia memerlukan undang-undang dan peraturan untuk memastikan suasana harmoni dan aman terus terpelihara serta terkawal demi keselesaan selain kesejahteraan hidup bagi semua pihak.

Menurutnya, ahli-ahli jawatankuasa kariah telah dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk mentadbir dan mengurus hal ehwal masjid dan kariah supaya berjalan lancar tanpa diancam oleh anasir-anasir tidak sihat seperti perbalahan serta perpecahan disebabkan perbezaan pendirian politik berparti.

Katanya lagi, oleh demikian, tugas ahli jawatankuasa kariah itu adalah membantu MAINPP untuk memastikan institusi keagamaan yang penting ini dapat berfungsi sebaik mungkin sebagai pusat ibadah dan kebajikan masyarakat Islam.

“Kita bukan menghalang untuk rakyat belajar selok-belok Islam dengan kesemua 16 agamawan ini. Masih ada ramai lagi agamawan yang mempunyai tauliah dibenarkan untuk menyampaikan ceramah, khutbah dan mengajar di masjid serta surau di Pulau Pinang. Masyarakat Islam juga boleh mengikuti program-program keagamaan menerusi televisyen, radio dan saluran-saluran penyiaran yang lain.

“Pemerintah wajib memastikan rakyat dapat meneruskan kehidupan masing-masing dengan selesa dan aman tanpa digugat oleh sebarang elemen yang merisaukan atau yang menyukarkan mereka menjalani kehidupan. Oleh demikian, pemerintah berhak mengadakan peraturan tertentu yang pada pertimbangannya perlu untuk tujuan ini,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Jumaat lalu, MAINPP menamakan 16 individu yang dilarang untuk mengadakan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu di negeri ini berikutan tidak mempunyai tauliah mengajar daripada MAINPP.

Mereka adalah Datuk Kazim Elias, Shaharudin Ibrahim, Datuk Ahmad Husam Baderudin, Wan Hizam Abdullah Sabil, Yusni Mat Piah, Shahrir Long, Sobri Arshad, Aiman Subri, Ahmad Dusuki Abdul Rani, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Profesor Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi, Mohd Rizal Azizan, Halim Hassan dan Dr Abdullah Yassin.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, satu pekeliling bertarikh 4 November 2022 telah dikeluarkan dengan menyenaraikan kesemua individu tersebut selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam.

Dalam pada itu, Wan Salim menambah, rakyat wajib mematuhi arahan pemerintah yang bermatlamat untuk kebaikan semua pihak.

“Kita perlu ingat, masjid dan surau adalah tempat untuk menjalin hubungan persaudaraan antara umat Islam setempat dan untuk menyatupadukan mereka. Institusi yang diberkati ini bukan tempat untuk menyemai bibit kebencian dan permusuhan antara jemaah disebabkan perbezaan pandangan terhadap isu keagamaan (masalah-masalah khilafiah) di samping perbezaan fahaman politik.

“Masjid dan surau bukan tempat untuk berpolitik oleh mana-mana parti politik. Jika masjid dan surau digunakan untuk tujuan kempen pilihan raya, maka sudah pasti ia akan memecahbelahkan anak-anak jemaah, sedangkan Islam amat mementingkan perpaduan dalam kalangan umatnya.

“Selain itu, Islam mewajibkan umatnya menghindari faktor-faktor yang membawa kepada perpecahan,” katanya.

Ujar beliau lagi, masjid dan surau sepatutnya memainkan peranan menyeru masyarakat untuk ibadah dan kebajikan secara berhikmah serta berdakwah dengan nasihat yang baik.

“Tiada tempat di institusi keagamaan ini untuk ahli-ahli politik dan penyokong mereka berkempen untuk parti masing-masing, tambahan pula dengan menggunakan perkataan-perkataan kasar, mencerca dan memaki hamun terhadap lawan.

“Golongan pendakwah diharap dapat membantu pihak kerajaan mengekalkan keamanan dan ketenteraman dalam kalangan masyarakat, bukan menabur bibit-bibit perpecahan dan menyemarakkan api kebencian sama ada secara sedar atau sebaliknya.

“Siapa yang ingin menyampaikan kuliah, ceramah agama atau khutbah Jumaat boleh memohon tauliah daripada pihak berkuasa agama terlebih dahulu supaya dapat dipastikan mereka bertanggungjawab terhadap aktiviti yang dijalankan di tempat-tempat ibadah untuk faedah seluruh masyarakat Islam,” katanya.