Jasa veteran ATM tak pernah dilupakan dalam bajet tahunan

in Nasional by

Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa membela nasib veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tidak pernah melupakan jasa mereka melalui bajet tahunan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan pihak tertentu kononnya Bajet 2023 yang dibentangkan bulan lepas mengabaikan veteran.

“Memang tidak semua benda boleh diumumkan dalam ucapan, kalau tak separuh hari pun tak cukup nak berucap, jadi ada banyak lagi inisiatif yang tak disebut dalam ucapan bajet tapi sebenarnya ada dalam buku bajet yang tebal itu.

“Antara yang kita umumkan untuk veteran adalah peruntukan RM10 juta di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) bagi pembiayaan usahawan khas veteran kerana kita ada veteran yang ingin berniaga,” katanya dalam ucapan majlis makan malam dan ramah mesra bersama veteran ATM, Anggota Pertahanan Awam (APM) serta Ahli Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) anjuran Skuad Antidadah Kuala Selangor.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga menyediakan RM50 juta di bawah program Semarak Veteran BSN untuk pembiayaan perniagaan termasuk insentif gaji Perkeso yang mana RM600-RM750 sebulan diberikan selama tiga bulan kepada majikan yang mengambil veteran bekerja.

Beliau berkata, diskaun 50 peratus tiket bas juga akan diberikan kepada veteran bagi sistem pengangkutan Prasarana di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.

“Insya-ALLAH, jika Barisan Nasional diberi mandat untuk membentuk kerajaan Persekutuan, kita akan membentangkan kembali Bajet 2023 dan memastikan warga veteran akan terus terjaga,” katanya. – Bernama