Peningkatan pengundi indikator utama PN letak calon Melayu

in Politik by

MELAKA – Peningkatan jumlah pengundi Melayu di Parlimen Kota Melaka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi indikator utama Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan calon Melayu, Suhaime Borhan di kubu kuat DAP itu.

Naib Presiden Gerakan, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam berkata, jumlah pengundi Melayu di Parlimen itu mencecah 43 peratus daripada keseluruhan 164,140 pengundi berdaftar di Kota Melaka ketika ini.

“Pada PRU14, pengundi Melayu di Parlimen Kota Melaka adalah 37.8 peratus daripada keseluruhan 126,848 pengundi berdaftar dan situasi ini menyebabkan kita perlu mengubah strategi dari aspek calon.

“Ia pertama kali Gerakan meletakkan calon Melayu di Kota Melaka sekali gus memberi pilihan kepada pengundi Melayu di Parlimen ini untuk mengundi calon Melayu kerana sebelum ini parti yang bertanding di kawasan itu adalah bangsa Tionghua kerana peratusan kaum itu lebih tinggi berbanding yang lain,” katanya ketika sidang akhbar pengenalan calon PN Parlimen Kota Melaka di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Melaka berkata, strategi meletakkan Suhaime, 42, yang merupakan Naib Pengerusi Gerakan Melaka itu sebagai langkah pembaharuan parti itu untuk mendekati pengundi Melayu di Parlimen berkenaan selain membuktikan PN merupakan sebuah parti berbilang kaum yang dibentuk menerusi gabungan parti lain seperti Bersatu dan Pas.

Katanya, pencalonan Suhaime di kerusi tradisi DAP itu turut mengambil kira beberapa faktor lain antaranya calon itu berpengalaman hampir 20 tahun dalam politik dan telah bersama parti itu bermula di peringkat akar umbi serta dilihat mempunyai peribadi yang baik dan tidak terpalit sebarang isu.

Gan berkata, pembaharuan itu juga dilihat akan memberi saingan kepada parti lawan dan jentera parti PN dari Gerakan, PAS dan Bersatu akan bekerja keras untuk melaksanakan gerak kerja dirancang secara lebih efektif.

Sementara itu, Suhaime berkata, beliau berharap pencalonannya di Kota Melaka dapat menjadi ‘pemecah undi’ khususnya untuk meraih undi kaum Melayu di Parlimen itu pada PRU15 sekiranya peratusan kaum Melayu keluar mengundi tinggi.

“Pencalonan saya di Kota Melaka merupakan satu penghormatan dan melihat kepada peratusan pengundi Melayu yang agak tinggi, saya rasa tiada masalah untuk saya berkhidmat di Parlimen ini. Saya akui ia bukan mudah tetapi tidak mustahil juga PN dapat menawan Kota Melaka,” kata ahli perniagaan itu.

Beliau berkata, sekiranya diberi mandat pada PRU15, antara misi yang menjadi tumpuannya ialah untuk menambah baik infrastruktur perniagaan khususnya di kawasan Banda Hilir dan Melaka Raya serta pembangunan di kawasan pesisir pantai dalam Parlimen itu.

Pada PRU15, Suhaime berdepan pertandingan empat penjuru antara Khoo Poay Tiong mewakili Pakatan Harapan, Kon Qi Yao (Barisan Nasional) dan calon Bebas, Datuk Dr Norazlanshah Hazali. Pada PRU14, Khoo menang dengan majoriti 49,175 undi. – Bernama