Abd Latiff persoal harta Rafizi

in Nasional by

Gambar dari kiri: Abdul Latiff Ahmad, Rafizi Ramli

SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad mempersoalkan deklarasi aset Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang berjumlah hampir RM17 juta melalui pegangan saham dalam Invoke Solutions Sdn Bhd, syarikat yang diasaskannya sendiri.

Menurut beliau, syarikat tersebut didakwa mengalami kerugian pada akhir Disember 2021 dan aset bersihnya adalah negatif RM4.7 juta, namun menerusi deklarasi yang dikeluarkan Rafizi sehingga 31 Oktober 2022, nilai itu telah melonjak kepada RM17 juta.

“Demi ketelusan, yang sering disebut-sebut oleh Rafizi, rakyat berhak mengetahui apakah yang menyebabkan kenaikan nilai yang begitu mendadak?

“Adakah Rafizi bersedia mendedahkan dengan segera kontrak-kontrak atau sumber pendapatan yang didapati oleh Invoke dalam tahun 2022 yang telah membawa kepada kenaikan nilai yang begitu besar?

“Saya menyeru Rafizi menerbitkan senarai penuh butir-butir tersebut secara jujur dan telus,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rafizi terdahulu mendeklarasikan aset tersebut menerusi akuan berkanun (SD) yang dimuat naik melalui laman blog peribadinya.

Menurut beliau, pengisytiharan itu sejajar dengan sebahagian daripada syarat-syarat yang ditetapkan oleh PKR sebagai calon bertanding di bawah tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Abd Latiff ketika mengulas kembali deklarasi aset tersebut menyatakan bahawa Rafizi pada 2017 mengeluarkan kenyataan saham-saham di dalam Invoke akan diagihkan kepada ‘kakitangan Invoke yang berkorban selama ini’.

“Setelah meneliti carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terbaru, saya mendapati terdapat hanya 14 pemegang syer di dalam Invoke. Dari mereka ini Rafizi memegang 73 peratus ataupun ‘lion share’ daripada keseluruhan jumlah syer syarikat tersebut.

“Seterusnya pemegang syer terbesar yang kedua adalah taikun perniagaan yang besar bernama Lee Choo Boo dan yang ketiga terbesar ialah Ahli Parlimen PKR, Wong Chen.

“Lain-lain pemegang syer termasuk adalah Ahli Parlimen PKR dan sahabat karib, Akmal Nasrullah serta ahli politik PKR, Onn Abu Bakar,” jelasnya.

Tambah beliau, sebuah syarikat kejuruteraan dan seorang warganegara asing bernama Hassan Mia Sonday turut memiliki syer berkenaan.

“Memandangkan pemegang-pemegang saham seperti di atas, dimanakah janji yang dibuat pada tahun 2017 untuk mengagihkan saham-saham tersebut kepada kakitangan Invoke.

“Perlu diingati bahawa pada tahun 2017 juga, beliau menyatakan terdapat hampir 80 kakitangan Invoke.

“Adakah Rafizi tidak mahu lagi berkongsi kekayaan bernilai berjuta melalui saham Invoke dengan rakyat marhaen yang ‘berkorban’ untuk beliau menjayakan Invoke?” soal Abd Latiff.

Tegasnya, memandangkan aset sebanyak RM17 juta akan digunakan untuk memberi manfaat kepada rakyat biasa, Rafizi diminta memberi penjelasan mengenai perkara tersebut.