Aura Nik Abduh bawa tuah kepada calon Pas Bachok

in Politik by

Mohd Syahir (duduk, dua dari kanan) bertemu masyarakat Siam Bachok di Kampung Balai, pada Isnin.

BACHOK – Aura Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz banyak membantu calon Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman apabila diterima baik pengundi Parlimen Bachok tanpa sebarang kesukaran.

Mohd Syahir berkata, sejak penamaan calon lagi, mantan penyandang kerusi Parlimen Bachok itu menjadi pendokong utama kerjaya politiknya.

Saya amat terharu dan berterima kasih kepada beliau yang istiqamah dengan Pas dan sebagai mantan calon boleh seiring selangkah dengan saya.

“Saya kira banyak menumpang tuahnya kerana semua gerak kerja dan aktiviti turun padang berjalan lancar dengan ditemani beliau. Tiada sebarang isu berbangkit dan kehadiran saya amat dialu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menemui komuniti masyarakat Siam Bachok di Kampung Balai, di sini pada Isnin.

Beliau memberitahu, Nik Mohamad Abduh mengiringinya berkempen dan menemui pengundi sejak dua hari lepas.

“Memang saya anak kelahiran Bachok dan ramai keluarga serta sanak saudara menetap di sini. Namun kehadiran figura hebat ini memang memberi impak besar kepada saya untuk lebih dikenali pengundi sekitar Bachok,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Syahir yang juga Setiausaha Politik Presiden Pas itu memaklumkan beliau akan memberikan tumpuan kepada lima visi utamanya di Bachok.

Ia termasuk meningkatkan kefahaman agama kepada penduduk, mendokong kecemerlangan akademik remaja dan belia, memperkasa bidang keusahawanan, menjadikan Bachok destinasi pelancongan terkenal serta menambah keberhasilan produk pertanian dan perikanan.