Jaga adab berjiran, jangan pentingkan diri sendiri

in Pojok by

Gambar hiasan 123RF

HIDUP berjiran perlu ada sikap saling menghormati, bersangka baik, berbudi bahasa dan tidak sesekali melakukan perkara yang boleh menimbulkan rasa kurang senang.

Merak Jalanan terpanggil untuk berkongsi satu kisah yang berlaku di kawasan perumahan melibatkan beberapa isu termasuk membakar sampah secara terbuka pada hari minggu sehingga mengganggu jiran-jiran.

Ia bermula apabila ada dalam kalangan penduduk menyuarakan rasa tidak puas hati menerusi grup WhatsApp kerana pada hari minggu kebanyakan mereka mengambil peluang mencuci dan menyidai pakaian di luar rumah serta membawa anak-anak beriadah di taman permainan berdekatan.

Asap pembakaran tersebut menyebabkan bau melekat pada pakaian yang telah dibasuh dan tidak kurang juga ada yang masuk ke dalam rumah.

Bermula daripada teguran supaya menghentikan pembakaran terbuka kerana mengganggu penduduk, ia kemudian bertukar menjadi perang mulut sehingga meleret kepada isu-isu lain yang tiada kaitan dengan masalah asal dibangkitkan, termasuk soal haiwan peliharaan seperti kucing.

Daripada beberapa individu bertegang lidah, kemudian lebih ramai masuk campur, turut meluahkan isi hati masing-masing kerana terpaksa mencuci najis kucing hampir setiap hari disebabkan pemilik haiwan lepas tangan.

Merak Jalanan bagaimanapun hanya mampu menjadi pemerhati kepada perang mulut yang berlaku. Walaupun ada perkara yang sudah lama dipendamkan, namun lebih baik diam daripada mengeruhkan lagi keadaan.

Sebenarnya hidup berjiran ini tidak sukar sekiranya tahu apa perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh. Kalau hidup berjiran, perlulah saling bertolak ansur dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Bak kata rakan Merak Jalanan, kalau rasa tak boleh nak bertolak ansur, lebih baik tinggal dalam hutan sahaja.