Jangan terpedaya lakonan calon di media sosial

in Khas by

Zed Zaidi ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk ‘PRU15: Kenapa Perlu Mengundi?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.Zed Zaidi

SHAH ALAM – Media sosial menjadi senjata baharu pilihan raya yang sangat berkesan memberi dan membentuk keyakinan tinggi orang ramai terhadap calon bertanding.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi berkata, keupayaan media sosial memberi impak kepada masyarakat adalah sangat besar terutama kepada anak muda.

Maka sebab itu katanya, golongan politik masa kini menggunakan kelebihan media sosial bagi menawan hati dan menarik perhatian anak muda yang baru pertama kali mengundi iaitu kumpulan Undi18.

Beliau berkata, pelbagai cara dilakukan bagi menawan golongan anak muda seperti mempamerkan aksi lucu dan mempersonakan kerana terdapat belia yang mudah terpengaruh dengan janji-janji ditabur dalam media sosial.

“Zaman sekarang adalah zaman media sosial dan ia dikuasai oleh anak muda.

Apabila Undi18 dipraktikkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), maka siapa calon yang bijak menggunakan media sosial pastinya dia akan berjaya menawan hati golongan tersebut.

“Mana-mana ahli politik yang tidak menggunakan media sosial, dia adalah golongan yang rugi kerana anak muda gemar berinteraksi dalam media sosial tanpa mengira sudut atau kandungan yang dipersembahkan.

“Ramai yang suka kepada kreativiti tertentu daripada ahli politik termasuk anak muda, sekali gus berasa tertarik dengan parti atau calon terlibat. Pendekatan calon menggunakan media sosial dilihat lebih efektif pada masa ini,” katanya.

**media[1973996]**

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk ‘PRU15: Kenapa Perlu Mengundi?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin. Rancangan itu dihoskan oleh Asmaliza Mansor.

Meskipun begitu, Zed Zaidi menegaskan bahawa sebahagian anak muda sudah muak dengan permainan politik kerana kebanyakan ahli politik menggunakan media sosial untuk mengetengahkan perjuangan masing-masing tetapi secara fizikalnya ia tidak berlaku.

Jelasnya, ahli politik kadang kala boleh disifatkan sebagai ‘keyboard warrior’ atau pahlawan papan kekunci sahaja tetapi gagal dalam pelaksanaan.

Katanya, semua perkara tersebut membuatkan orang ramai terutama anak muda meluat dengan ahli politik dan agenda yang mahu disampaikan.

“Untuk kumpulan pemimpin, tolong tunaikan apa yang telah dijanjikan. Jangan berjanji bulan dan bintang kerana ada perkara itu yang tidak realistik tetapi tetap juga berjanji mahu dilaksanakan.

“Perkara seumpama ini membuatkan rakyat semakin muak. Orang ramai sudah ada contoh kepimpinan sebelum ini dan mereka sudah boleh menilai cara-cara kepimpinan yang dimahukan.

“Oleh sebab itu, pengundi harus bijak memilih calon yang boleh menepati janji-janji pilihan raya dan bukannya membuat janji atau menyajikan pelbagai macam dalam manifesto, tetapi selepas itu kata ia bukan kitab suci. Akhirnya yang teraniaya adalah rakyat,” katanya.