Mara fokus bangunkan sosio ekonomi luar bandar

in Edisi by

Abdul Rahman (dua dari kiri) menyempurnakan Majlis Perasmian Program Kampung Sejahtera KPLB@Lipis 2022 di sini pada Ahad

LIPIS – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus menjadi agensi kerajaan yang memfokuskan pembangunan sosio-ekonomi luar bandar menerusi kemudahan yang disediakan.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, menerusi inisiatif di bawah agensi tersebut, program ke arah meningkatkan sistem penyampaian kepada usahawan dan masyarakat luar bandar terus dilaksanakan bagi memastikan manfaat yang disediakan kerajaan terus dinikmati.

Menurutnya, Mara menawarkan bantuan geran RM 97,500 bagi Program Pembangunan Usahawan dan Pendidikan bagi daerah Lipis dari tahun 2020 sehingga 2022.

“Bagi meningkatkan sosio ekonomi bumiputera daerah Lipis pula, seramai 116 usahawan dari daerah itu telah menerima bantuan Pembiayaan Perniagaan Mara berjumlah RM 13.6 juta bagi keperluan peningkatan perniagaan, digitalisasi dan penyeragaman pensijilan agar usahawan terlibat menjadi lebih kompetitif dalam mendepani cabaran perniagaan masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kampung Sejahtera KPLB@Lipis 2022 di sini pada Ahad.

Abdul Rahman berkata, Mara turut memfokuskan kepada pendidikan masyarakat luar bandar melalui sumbangan RM395,130 kepada pelajar bumiputera di daerah Lipis.

“Sehingga kini, seramai 1.35 juta pelajar telah mendapat manfaat tajaan bagi mengikuti pengajian di dalam dan luar negara sekaligus mampu mencapai matlamat meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat bumiputera.

“Keberadaan Mara di luar bandar adalah untuk mengenal pasti dan menilai impak program keusahawanan dan pendidikan sekaligus memupuk nilai positif di dalam diri peserta,”jelasnya.

Beliau berkata, melalui peluang bantuan perniagaan dan pendidikan yang disediakan Mara,mereka mampu meningkatkan taraf kehidupan keluarga dan masyarakat.

Pada majlis turut turut disampaikan Bantuan Kaca Mata daripada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) bernilai RM150 seorang kepada 50 pelajar yang memerlukan sebagai galakan untuk mempertingkatkan prestasi akademik mereka.

Selain itu, Giatmara Sdn Bhd turut menyediakan perkhidmatan servis motosikal secara percuma kepada 50 pemilik motosikal di kawasan tersebut.