MCA sudah 'move on' isu kerusi Batu

in Politik by

Wee Ka Siong

ALOR SETAR – MCA sudah ‘move on’ dan melupakan isu perebutan kerusi Parlimen Batu antara parti itu dengan MIC pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perebutan kerusi merupakan perkara biasa sebelum sesuatu keputusan dibuat ataupun calon dimuktamadkan untuk pilihan raya umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRK).

Beliau menyifatkan sudah pastinya dalam parti ada calon yang hendak berebut kerusi, manakala interparti serta intrapati masing-masing memiliki hajat bertanding untuk kerusi tertentu.

“Tak salah pun kalau ada hajat tetapi apabila keputusan telah dibuat oleh dewan tertinggi ataupun pemimpin, (apabila) pengerusi telah mengeluarkan watikah bermaksud (calon) sudah dimuktamadkan. Maka, ‘move on’.

“Dari saat itu, tidak ada soal siapa sepatutnya jadi calon. Move on tak kira interparti intrapati, kita kena mengorak langkah ke hadapan untuk mencapai kemenangan mutlak bagi Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar selepas pertemuan dengan wakil Pasukan Sukarelawan Bomba Kawasan Alor Setar di Pejabat MCA Alor Setar, di sini, pada Isnin.

Ka Siong menegaskan, semua anggota parti komponen perlu memastikan kemenangan BN, sekaligus memberi sokongan kuat.

“Mungkin sehari dua itu biasalah, pasal (kita sebagai) manusia kalau tidak dapat, (perasaan) sedih ada. Ada yang beremosi,” katanya.

Ujar Ka Siong, keadaan akan kembali tenang dan reda selepas tempoh tertentu dengan semua parti komponen BN bergerak sebagai satu pasukan.

Sehubungan itu, beliau berpesan kepada semua supaya ‘move on’ sahaja dan tidak bercakap tentang perkara yang lepas.

Pada 2 November lalu, Sinar Harian melaporkan Ka Siong memaklumkan MCA akan bertanding di kerusi Parlimen Batu.

Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran pada hari sama mengesahkan calon parti itu, Datuk Kohilan Pillay akan tetap bertanding di Parlimen Batu.

Kerusi parlimen Batu mencuri perhatian apabila menyaksikan pertembungan 10 penjuru dengan BN mempertaruhkan Naib Presiden MIC, Kohilan untuk menentang sembilan calon lain termasuklah empat calon Bebas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, BN telah berjaya membangunkan negara hasil kesepakatan parti komponennya selama hampir 70 tahun.

Beliau menyifatkan, Johor antara contoh bagaimana sebuah kerajaan yang stabil mampu untuk membawa keyakinan pelabur tempatan dan asing.

Sehubungan itu, Ka Siong berkata, realiti terbabit perlu diterjemahkan dalam PRU kali ini bagi membolehkan segala usaha pembangunan tidak direncatkan.

Ka Siong berkata, MCA tidak mahu meletakkan sasaran kerusi untuk dimenangi pada PRU15.

“Saya sangat realistik. Saya anggap semua kerusi berhadapan persaingan sengit, barulah kita akan bekerja bertungkus-lumus untuk memenangkannya. Kita tidak boleh terlalu senang dan akhirnya lalai dalam memastikan rakyat menilai dan mengundi kita,” katanya.

Terdahulu, beliau turun padang untuk berkempen bagi calon BN di kerusi Parlimen Alor Setar, Tan Chee Hiong.