Pejuang lawan Warisan bukti Mohd Shafie bukan kroni Tun M

in Politik by

Mohd Shafie ketika hadir pada program bersama rakyat di Lahad Datu.

LAHAD DATU – Tindakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) meletakkan calon dan bersaing dengan Parti Warisan (Warisan) di Sabah membuktikan bahawa Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bukan kroni Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan menganggap tuduhan Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu bahawa Warisan tidak mampu berbuat apa-apa di Sabah sebagai pandangan beliau sahaja.

“Itu terserah kepada dia (Dr Mahathir), itu hak dia untuk menyatakan, saya tak mahu bertelingkah tapi sudah cukup bagi saya menyatakan bahawa kita tidak mahu bergabung dengan mana-mana parti, perubahan perlu kita lakukan.

“Ada pihak menyatakan bahawa saya ini menjadi kroni Mahathir. Hari ini yang berlawan dengan saya adalah Pejuang di Semporna, hari ini di kawasan-kawasan mereka juga bertembung dengan parti Warisan,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada program bersama rakyat di sini pada Isnin.

Beliau bagaimanapun turut mengingatkan bekas Perdana Menteri itu bahawa Warisan yang membantu Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya yakin kalau bukan Warisan di Sabah, mana mungkin dapat membantu PH dalam pilihan raya yang lalu sehingga jumlahnya mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Ditanya sekali lagi dakwaan Pejuang bahawa Warisan cuma jaguh kampung, beliau menegaskan bahawa biar rakyat yang tentukan nasib pada pilihan raya kali ini.

Bercakap mengenai perbincangan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi pelan membentuk blok Borneo, beliau berkata, perkara itu akan dinyatakan bila tiba waktunya.

“Saya akan nyatakan gelombang suara dan frekuensi Sarawak punya suara, pertahankan hak Sarawak. Kita juga pertahankan hak Sabah, tunggu waktunya,” katanya.

Sebelum itu, Mohd Shafie turut menamakan adiknya, Datuk Mohammad Yusof Apdal sebagai calon di Parlimen Lahad Datu bagi menentang dua lagi calon iaitu Sia Yu Hock (PH) dan Datin Maizatul Akmam Alawi (BN).