Rakyat mahu kestabilan, pembangunan ekonomi

in Edisi by

Mohd Rizol, Madihah

KANGAR – Pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diharap dapat menjamin kestabilan ekonomi sekali gus menangani peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi pada masa ini.

Peniaga daging, Mohd Rizol Hashim, 42, berkata, kestabilan dan pembangunan ekonomi setempat secara tidak langsung akan menggalakkan orang ramai berbelanja.

“Di Kuala Perlis pula, saya mengharapkan lebih banyak pembangunan di kawasan ini. Lebih banyak kilang-kilang IKS (industri kecil dan sederhana), baru orang luar akan datang sini.

“Orang Kuala Perlis pun tak perlu cari makan dekat luar (pekerjaan). Sekarang ini, kita hanya ada jeti untuk mengharapkan kedatangan orang luar. Jeti pula orang datang dan terus pergi ke Langkawi.

“Kena cari sesuatu (pelancongan) supaya mereka ini ‘stay’ di sini dua tiga hari. Jeti sumber utama ke Langkawi, kena ada tarikan pelancongan barulah dapat meningkatkan ekonomi di kawasan ini dan negeri Perlis,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pasar Baru Kuala Perlis di sini pada Isnin.

Sementara itu, peniaga ayam, Madihah Mansor, 51, mengharapkan wakil rakyat yang diberi mandat pada PRU15 akan berterusan ‘turun padang’ dan mendengar keluh kesah peniaga yang banyak terjejas selepas pandemik Covid-19.

“Sebagai peniaga ayam, saya berharap kerajaan dapat menstabilkan balik harga seperti dulu. Kita tahu keadaan ekonomi sekarang tapi harap tidak membebankan peniaga dan pembeli.

“Kita yang meniaga nak bagi tahu harga kepada pembeli lagi teruk. Kadang-kadang orang bawa duit RM50 dapatlah ayam seekor, ikan sahaja. Kita meniaga pun tak laku macam dulu,” ujarnya.

Tambahnya, dia menyambut baik usaha kerajaan terdahulu yang kerap mengadakan jualan murah di kawasan berkenaan kepada pengguna namun diharapkan pihak terbabit dapat memilih tempat strategik agar tidak menutup periuk nasi peniaga dalam pasar berkenaan.