Ringgit dibuka tinggi sedikit hari ini

in Bisnes by

Nilai ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS. Foto hiasan

NILAI ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan kadar pengangguran yang lebih tinggi serta inflasi gaji yang agak rendah pada Jumaat lepas.

Sentimen untuk mata wang tempatan turut dilonjakkan lagi oleh petunjuk kenaikan kadar faedah yang lebih kecil pada mesyuarat dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai sedikit kepada 4.7430/7460 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat pada 4.7460/7495.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli berkata, walaupun laporan pekerjaan AS baru-baru ini menunjukkan keadaan pasaran buruh yang semakin lemah berikutan peningkatan kadar pengangguran (Okt: 3.7 peratus berbanding September: 3.5 peratus), pengambilan pekerja masih kukuh, mencatatkan 261,000 berbanding anggaran 200,000 pada bulan Oktober.

Ini sekali gus menunjukkan ekonomi AS kekal berdaya tahan.

“Walaupun Rizab Persekutuan membayangkan kenaikan kadar yang lebih kecil pada masa hadapan, keputusan sedemikian lambat laun akan didorong oleh hasil data.

“Mata wang tempatan mungkin menjadi kurang menggalakkan sekiranya terdapat sebarang keputusan yang tidak dijangka dalam indeks harga pengguna (CPI) AS Oktober yang akan datang, serta keputusan pilihan raya separuh penggal negara pada 8 Nov,” katanya.

Menurut Firdaos, ringgit boleh terus tertekan berbanding dolar AS di tengah-tengah perbezaan kadar dan ketidaktentuan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, mata wang tempatan mengukuh berbanding mata wang utama lain, iaitu pound Britain (3.1 peratus), dolar Australia AUD (satu peratus) dan euro (1.5 peratus) pada minggu lalu.

Kedua-dua halangan luaran dan faktor domestik, terutamanya dari segi politik, akan mempengaruhi trajektori ringgit, tambahnya.

Malaysia kini dalam suasana pilihan raya umum, dengan pengundi akan mengundi pada 19 November.

“Kami percaya pertumbuhan ekonomi suku ketiga (S3) 2022 yang lebih baik daripada jangkaan boleh memberi sokongan kepada unjuran ringgit pada minggu ini. Justeru, kami mengunjurkan julat mingguan dagangan ringgit antara RM4.74 dan RM4.75,” kata Firdaos.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.3688/3715 daripada 3.3517/3546 pada penutup Jumaat dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.2263/2286 daripada 3.2111/2137 sebelum ini.

Ringgit terus lemah berbanding pound Britain menjadi 5.3719/3753 daripada 5.3231/3270 dan merosot berbanding euro kepada 4.7103/7133 daripada 4.6383/6417 pada penutup Jumaat. – Bernama