Tiada halangan calon ke surau, masjid tapi bukan untuk kempen

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Sulaiman – Foto fail Bernama

MELAKA – Tiada halangan untuk calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk beribadah atau menghadiri sebarang program serta aktiviti dianjurkan ahli jawatankuasa surau atau masjid di Melaka, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Bagaimanapun katanya, calon adalah dilarang sama sekali menggunakan masjid, surau dan sekolah agama negeri itu bagi tujuan berkempen seperti yang diarahkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebelum ini.

“Untuk datang menunaikan solat tentunya tiada masalah, tetapi kita jangan salah gunakan rumah ibadah ini untuk platform berpolitik kerana ia tidak sesuai.

“Kita perlu tinggalkan semuanya di luar atau rumah seketika, kerana masjid atau surau semuanya datang daripada latar belakang yang berbeza,” katanya.

“Sekiranya kita dijemput penganjur atau komuniti untuk sebarang program atau aktiviti datanglah dan tiada siapa yang menghalang, kalau tidak dijemput kita faham-faham sahajalah,” katanya ketika ditemui pemberita di Ayer Keroh di sini hari ini.

Semalam media melaporkan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendakwa, beliau dihalang menyertai program bersama kariah di sebuah surau di kawasan berkenaan serta mendakwa kehadirannya bukan bersifat politik namun untuk memeriahkan aktiviti gotong-royong.

Terdahulu, Sulaiman menyampaikan bantuan kewangan bagi pembaikan penyelenggaraan dan kerja-kerja kecemasan rumah ibadat selain Islam di Melaka, yang turut dihadiri Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugan dan Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem. – Bernama