Tukar budaya kempen PRU15

in Khas by

Zed Zaidi ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk ‘PRU15: Kenapa Perlu Mengundi?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.Zed Zaidi

SHAH ALAM – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan medan memburukkan lawan sebaliknya pentas terbaik menampilkan visi dan misi parti membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat.

Artis terkenal, Rozaidi Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi berkata, pengundi kini semakin bijak dan boleh menilai calon terbaik yang boleh diangkat sebagai pemimpin, maka perbuatan memburuk-burukkan parti lawan bukan satu bentuk kempen diinginkan oleh generasi baharu.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berkata, pengundi bijak akan memilih calon pemimpin yang berupaya membangunkan negara menerusi perancangan dan plan utama disediakan oleh parti atau calon itu sendiri.

Jelasnya, orang ramai pastinya akan menolak golongan ahli politik yang rakus berebut kuasa dan mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat.

Tegasnya, budaya parti politik sekarang bukan lagi mengutuk atau memburukkan parti lawan, sebaliknya berusaha menawarkan perancangan jangka pendek dan panjang kepada rakyat selain tekad menjaga kebajikan seluruh lapisan masyarakat.

“Ini bukannya masa untuk mencari salah, perkara itu dan perkara ini yang tidak kena (sesuai). Sebaliknya, rakyat mahu tahu apa perjuangan awak sebagai ahli politik untuk negara dan generasi akan datang?

“Lihat apa yang berlaku ketika PRU14 apabila rakyat ingin mencuba. Apa yang berlaku adalah ketidakstabilan dari sudut ekonomi, pendidikan dan kebajikan rakyat. Semua terkesan kerana kononnya ingin mencuba terlebih dahulu.

“Namun setelah mencuba, apa yang berlaku? Apakah PRU15 ini kita hendak mencuba lagi? Jadi pilihlah parti yang lebih stabil dan boleh membela kebajikan rakyat terutama ketika mana mereka tengah susah.

“Pilih juga parti yang boleh bawa satu pasukannya mentadbir kerajaan dengan lebih baik, bukannya awak menang seorang, tapi yang lain itu ‘cap-cap ayam’. Bila tidak ada pengalaman, ini akan menyusahkan rakyat,” katanya.

**media[1973932]**

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk ‘PRU15: Kenapa Perlu Mengundi?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin. Rancangan itu dihoskan oleh Asmaliza Mansor.

Sementara itu, ditanya mengenai pemilihan anak muda sebagai calon, Zed Zaidi berkata, tidak boleh untuk meletakkan 100 peratus orang muda sebagai pemimpin, sebaliknya golongan itu perlu mendapat sentuhan daripada orang lama atau golongan veteran untuk membimbing.

Jelasnya, selain parti tetap memerlukan orang lama sebagai penasihat atau pemimbing, golongan tersebut diperlukan bagi sumber rujukan terbaik dan bertindak sebagai mentor.

“Kalau kita bagi sepenuhnya orang muda untuk mentadbir, perkara itu juga boleh mendatangkan masalah kerana tidak ada garis panduan daripada orang yang lebih berpengalaman.

“Saya nampak kerjasama atau gabungan antara pemimpin muda dengan orang lama dalam sesebuah parti politik kerana kedua-duanya sangat penting, namun ia bergantung juga kepada parti untuk memilih berapa peratus calon anak muda dan berapa peratus ahli veteran mahu dikekalkan dalam parti.

“Gabungan yang baik ini akan memberi lebih kemakmuran kepada parti tersebut dan seterusnya boleh diterjemahkan di peringkat pentadbiran negara,” katanya.