Ahli Bersatu yang bertanding akan diambil tindakan: Hajiji

in Politik by

Hajiji (tiga dari kiri) ketika melancarkan manifesto GRS di SICC, Kota Kinabalu.Hajiji ketika ditemui pemberita selepas melancarkan manifesto GRS di SICC, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Tindakan akan diambil terhadap ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yang menjadi calon dan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berpandangan bahawa pihaknya tidak boleh menghalang sesiapapun untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Di Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menggunakan simbol Perikatan Nasional (PN) dan jika benarlah di Tenom itu, ia adalah ahli daripada Bersatu, maka kita akan ambil tindakan sewajarnya, itu kita tidak benarkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pertembungan kerusi di Beluran yang mana calon Barisan Nasional (BN) telah diletakkan di kawasan itu dan juga kerusi Tenom apabila Ketua Armada Tenom, Riduan Rubin bertanding atas tiket Bebas.

**media[1975047]**

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa GRS tidak perlu mengorbankan kerusi milik Ronald, Hajiji berkata, itu adalah pandangan Presidennya.

“Di Sabah ini keadaan politik kita agak berlainan sedikit, ada keunikan dia. Jadi kita olahkan politik kita cara Sabah,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai manifesto GRS, Hajiji yang juga pengerusi gabungan itu berkata, manifesto GRS adalah bersandarkan empat teras utama untuk ditawarkan kepada rakyat.

“Kita baru melancarkan manifesto GRS. Kita memberi keutamaan untuk kestabilan politik di Sabah dengan menawarkan yang pertama, kita utamakan Sabah, kedua kita melangkah ke hadapan, yang ketiga kita mahu maju dan keempat ialah untuk kita bersatu, penyatuan di Sabah ini amat penting.

“Jadi inilah antara teras empat utama yang kita tawarkan kepada rakyat untuk memilih GRS. Ini amat penting untuk kestabilan politik di Sabah dan memacu ekonomi di Sabah,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama antara GRS dan BN akan diteruskan seperti dalam pilihan raya lepas sebaik mendapat mandat dan penubuhan kerajaan GRS-BN.