Akui kesilapan, jangan tuding jari kepada orang lain

in Politik by

Amirudin (depan) pada program Hi-Tea Bersama Anak Gombak pada Selasa.

GOMBAK – Realiti Langkah Sheraton telah menyebabkan ketidakstabilan politik dan menyebabkan rakyat turut terkesan akibat keadaan kelam-kabut dalam negara.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari menasihati pihak yang terlibat dalam komplot menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), mengakui kesilapan tersebut dan tidak bertindak seperti menjadi mangsa keadaan.

“Saya nasihatkan kalau kita buat silap, kita akui dan minta maaf. Itu yang terbaik, bukan menafikan dan cuba pertahankan diri serta tuding jari kepada orang lain,” katanya mengulas kemas kini di Facebook Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang mempertahankan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Video berdurasi dua minit 49 saat yang disiarkan pada Isnin itu telah memberikan penjelasan bahawa Zuraida bukan pengkhianat, sebaliknya tindakan yang dilakukan adalah demi kestabilan politik.

Amirudin berkata, tempoh pentadbiran singkat oleh Perikatan Nasional (PN) dan pembubaran awal di bawah BN jelas menunjukkan keadaan negara tidak stabil selepas kejatuhan kerajaan PH.

“Realitinya 17 bulan lebih pendek daripada 22 bulan dan 14 bulan lagi pendek daripada 17 bulan mahupun 22 bulan.

“Nombor tersebut jelas, itu adalah ketidakstabilan politik yang dihasilkan oleh tindakan mereka yang mengakui (bertindak jatuhkan kerajaan PH) untuk melakukan kestabilan,” katanya.

Terdahulu, Amirudin hadir pada program Hi-Tea Bersama Anak Gombak di Coffee Box, Taman Sri Gombak pada Selasa.

Turut hadir, penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membincangkan topik mengenai anak muda dengan dihadiri lebih 100 orang.