Aura PM mampu menangkan calon MCA di DUN Triang

in Politik by

Ka Siong

KUANTAN – Parti MCA berpeluang untuk menang sekali gus merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Triang di dalam Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berdasarkan aura Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, aura yang ada pada Ismail Sabri yang bertanding di kerusi Parlimen itu boleh memberi satu kelebihan untuk menawan pengundi di DUN Triang.

Menurutnya, calon baharu yang merupakan Ketua Pemuda MCA, Yee Cheng Hwa menjadi taruhan BN buat pengundi di kawasan terbabit.

Ini percubaan kali pertama bagi MCA untuk bertanding kerana selama ini kerusi terbabit ditandingi parti Gerakan. Pada kali ini Gerakan tidak bersama kita dan kita menerima pelawaan Ismail Sabri untuk bertanding di DUN Triang.

“Dulu pun sudah banyak kali disebut yang MCA akan bertanding dan di bawah naungan Perdana Menteri, organisasi menjadi lebih kuat di Bera sekali gus mendapat mandat daripada pengundi di Triang,” katanya semasa sidang akhbar di Pejabat MCA Indera Mahkota di sini, pada Selasa.

Cheng Hwa bakal berentap dengan penyandang kerusi itu, Leong Yu Man dari Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pula mengemukakan calon Melayu iaitu Muhammad Izzuddin Zulkifli.

Dalam pada itu, Ka Siong menjelaskan MCA tidak mahu terlalu yakin dalam meletakkan satu-satu sasaran disebabkan percaturan politik.

Beliau menyifatkan tempoh sehari dalam politik adalah terlalu lama dan apa sahaja boleh berlaku.

“Kita tidak tahu apa dakyah pembangkang, apa yang mereka akan taburkan fitnah.

“Jadi disebabkan itu BN perlu sentiasa berwaspada,” kata beliau yang memberi peringatan kepada semua akar umbi dan pemimpin dalam BN.