BNM dijangka naikkan lagi kadar faedah pada 2023

in Bisnes by

Bank Negara Malaysia. Foto 123RF

STANDARD Chartered Bank Malaysia Bhd (StanChart) menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar faedah sekali lagi pada Januari tahun 2023 sebanyak 25 mata asas (bps), berhenti seketika pada Mac sebelum kenaikan 25 mata asas yang terakhir pada bulan Mei.

Ini akan menjadikan kadar penamat kepada 3.25 peratus, katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sebelum ini, StanChart menjangkakan kenaikan akan dihentikan seketika selepas kenaikan 25 mata asas pada November sehingga kenaikan 25 mata asas yang terakhir pada suku ketiga 2023 dengan kadar penamat pada 3.00 peratus.

Dalam persekitaran pemulihan ekonomi yang kukuh, inflasi telah meningkat walaupun ada pemberian subsidi.

“Gaji semakin meningkat walaupun tiada petunjuk sebarang perubahan harga barang susulan kenaikan gaji. Justeru, kami menaikkan unjuran kenaikan penamat kepada 3.25 peratus daripada 3.00 peratus tetapi kami kekal percaya bahawa bank pusat mungkin kekal pada kenaikan 25 mata asas walaupun pelaksanaan kenaikan kadar yang lebih agresif oleh beberapa bank pusat di negara lain,” katanya.

Kenaikan pada bulan Mei adalah berdasarkan kemungkinan berlaku perubahan subsidi pada separuh kedua 2023 yang memerlukan satu lagi kenaikan kadar faedah terutamanya jika permintaan dalam negeri kekal kukuh.

Ia adalah berdasarkan kepada kenyataan mengenai dasar monetari November yang terbaharu oleh bank pusat, memberi bayangan kepada kenaikan pada Januari.

BNM melihat risiko terhadap prospek inflasi 2023 dengan kecenderungan menaik, katanya.

Selain itu, ia berkata BNM mengekalkan pandangan optimis mengenai permintaan dalam negeri dan dasar monetari semasa adalah akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Rujukan ini mencadangkan pengetatan selanjutnya mungkin akan dilaksanakan,” kata StanChart.

BNM telah mengulangi kenyataan bahawa jawatankuasa dasar monetari melakukan perancangan awal ketika ini.

“Apa yang penting, bank pusat telah menaikkan kadar faedah pada November, menunjukkan bahawa kenaikan 25 mata asas terkini mungkin bersifat pre-emptif.

“Kami melihat BNM mempunyai ruang untuk sekurang-kurangnya mengubah kadar faedah akibat pandemik sebelum ini (kadar dasar sebelum pandemik adalah 3 peratus) sebelum menghentikan pelaksanaan sebarang kenaikan buat seketika,” kata StanChart. – Bernama