Calon PSM Rembau isytihar harta, aset bersih RM707,000

in Politik by

Tinagaran ketika mengisytiharan hartanya pada Selasa.

SEREMBAN – Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Parlimen Rembau, S Tinagaran mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM707,000.

Tinagaran berkata, beliau membuat akuan berkanun mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 bagi tujuan mengisytiharkan harta sebagai seorang calon PSM dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Rembau.

“Saya sudah berumahtangga dan mempunyai seorang isteri serta tiga anak.

“Saya bekerja sebagai penasihat Syarikat SP Nadarajah Enterprise (pembersihan dan landskap) dari tahun 2020 hingga kini,” katanya ketika sidang akhbar di kediamannya di Taman Tuanku Jaafar di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Tinagaran yang mesra dipanggil Cikgu Tina berkata, beliau juga mengendalikan sebuah pusat tuisyen bersama isterinya di Rantau iaitu Pusat Tuisyen Samudera.

“Jumlah nilai aset bersih saya pada 7 November 2022 adalah dianggarkan sebanyak RM707,000.

“Kesemua anggaran yang terkandung dalam pengisytiharan ini dibuat dengan usaha terbaik dan berdasarkan dokumen, rekod dan anggaran saya,” katanya yang turut memperincikan kesemua nilai aset bersihnya.

Pada PRU15 ini, Tinagaran bertembung lima penjuru dari calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pakatan Harapan (PH), Jufitri Joha, Perikatan Nasional (PN), Mohd Nazree Mohd Yunus dan Gerakan Tanah Air (GTA), Ramly Awaluddin.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Pengisytiharan harta itu dibuat menerusi akuan berkanun (SD) yang dimuat naik melalui laman blog peribadinya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata, PSM adalah parti politik pertama di Malaysia yang memperkenalkan pengisytiharan harta sejak tahun 1999.

“Ini adalah satu amalan yang kita lihat sebagai langkah untuk menunjukkan ketelusan calon dan elakkan daripada korupsi,” katanya.