Dr Hafiz tunjuk sijil, bukti tamat pengajian

in Politik by

Dr Hafiz berkongsi hantaran rakannya berserta sijil ijazah di akaun Facebook miliknya.

KOTA BHARU – Calon Barisan Nasional (BN) Pengkalan Chepa, Dr Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin, 38, atau lebih dikenali Dr Hafiz membuktikan gelaran doktor yang digunakan bukan palsu.

Menerusi perkongsian di akaun Facebook miliknya, Dr Hafiz berkongsi hantaran daripada seorang Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang juga rakannya semasa sama-sama belajar di Indonesia.

Turut disertakan sijil ijazah dari Universiti Gadjah Mada, Indonesia yang mengesahkan beliau telah menyelesaikan pengajian dengan baik dan memenuhi semua persyaratan pendidikan Sarjana pada Program Studi Pendidikan Dokter di Fakulti Kedoktoran universiti berkenaan.

Dr Hafiz berkata, penjelasan itu merupakan satu kelegaan dan membolehkan beliau terus fokus mengharungi kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sedang giat berjalan ketika ini.

“Saya hanya mahu berkhidmat dan menjaga kebajikan masyarakat di Pengkalan Chepa jika menang PRU15,” katanya pada Selasa.

Beliau berharap individu yang memfitnahnya dapat tampil dengan memperbetulkan semula keadaan.

Pada masa sama beliau sedia memaafkan pihak yang mempertikaikan status kelayakan akademik serta gelaran doktor digunakannya.

Pada Sabtu, Dr Hafiz membuat laporan polis berkait fitnah yang dilemparkan ke atas dirinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Laporan berkait dengan status akademik dan kelayakannya sebagai doktor itu dibuat pada jam 4.07 petang bersama peguam dan jentera BN Pengkalan Chepa.