Ismail Sabri perlu kekal PM jika BN menang PRU15: Annuar

in Politik by

Annuar (kanan) menandatangani plak perasmian pada Majlis Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia di Felda Bukit Cherakah di Kuala Selangor pada Selasa.

KUALA SELANGOR – BN perlu kekal dengan pendirian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) itu perlu dihormati dan ia hanya menunggu perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Sekiranya kita cukup kerusi Parlimen untuk menubuhkan kerajaan, maka tiada calon kedua daripada UMNO melainkan hanya Ismail Sabri calon tunggal dikemukakan parti,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia di Felda Bukit Cherakah di sini pada Selasa.

Annuar berkata, selain Ismail Sabri, sesiapa sahaja calon daripada UMNO yang dicalonkan untuk menjadi Perdana Menteri mesti menolak selaras dengan keputusan diputuskan dalam PAU.

“Kita mesti bersatu hati dalam perkara ini dan hanya PAU boleh mengubah keputusan parti,” kata beliau.

Annuar dalam ucapannya pada program itu memberitahu, Ismail Sabri seorang pemimpin yang boleh menstabilkan dan menyelesaikan masalah negara dengan baik.

“Kerajaan pada waktu itu tidak stabil, namun beliau (Ismail Sabri) stabilkan, (pemimpin politik) bergaduh beliau damaikan, malah beliau juga berjaya membina persefahaman dengan pembangkang,” kata beliau.

Sehubungan itu, tegasnya, soal memilih calon Perdana Menteri bukan boleh dipilih sewenang-wenangnya.

“Jangan ubah-ubah (calon Perdana Menteri). Ini bukan masa hendak melawak beruk (mempersenda) dan tidak dibuat main-main.

“Kita akan mendukung keputusan PAU menamakan Ismail Sabri selaku calon Perdana Menteri,” jelas beliau.