'Jangan buang masa berdebat' – Tai Seong

in Politik by

Tai Seong

KUANTAN – Calon BN Parlimen Indera Mahkota, Datuk Quek Tai Seong menolak untuk menyertai debat melibatkan calon bertanding di kerusi itu yang didakwa akan diadakan 15 November ini.

Beliau mendakwa tidak mahu membuang masa, sebaliknya memberi tumpuan untuk bertemu pengundi sepanjang dua minggu tempoh berkempen

“Debat ini buang masa, biar dia (Calon PN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah) berdebat dengan pengundi.

“Saya akan fokus untuk berjumpa seberapa ramai pengundi yang boleh di kawasan,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat MCA di Indera Mahkota di sini pada Selasa.

Tiga hari lalu ada desas-desus yang mengatakan terdapat pihak tertentu mahu menganjurkan debat antara calon-calon di Parlimen Indera Mahkota.

Namun lokasi penganjurannya masih belum diberitahu.

Saifuddin mengatakan kesediaannya untuk menyertai debat itu namun calon Pakatan Harapan, Zuraidi Ismail dinasihatkan untuk memberi fokus sepenuhnya kepada kempen dan tugas berdebat diserah kepada pemimpin lebih senior dalam Pakatan Harapan (PH).

Tai Seong berkata, pelbagai masalah yang diadukan oleh pengundi kepadanya sepanjang tempoh berkempen.

Jelasnya, jika diberikan mandat, banyak pembaharuan akan dilakukan di kawasan Parlimen Indera Mahkota.

“Jangan buang masa, tumpu kepada isu rakyat, komuniti dan masyarakat,” ujar beliau.