KWSP: Anwar tak baca manifesto PN

in Politik by

MOHD RADZI

PUTRAJAYA – Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin meminta Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim membaca manifesto Perikatan Nasional (PN) sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Jelas beliau, cadangan pengeluaran KWSP tidak terkandung di dalam manifesto Tawaran PN Best sebaliknya dijawab Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sesi libat urus selepas pelancaran manifesto itu.

“Beliau tidak baca manifesto, saya seru Datuk Seri Anwar Ibrahim, bacalah dahulu baru beri komen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas turun berkempen di pasar malam Presint 2, dekat sini pada Selasa.

Menurutnya, Anwar wajar meneliti manifesto lawan sebelum mengeluarkan sebarang pandangan.

“Jadi saya harap pihak media boleh bantu secara jelas, apabila nak buat sesuatu kita ambil pelbagai aspek dan terbuka untuk menerima pandangan,” katanya sinis.

Anwar pada Isnin menempelak cadangan PN untuk melaksanakan penilaian semula pengeluaran KWSP secara bersasar sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.

Beliau dilapor berkata, tawaran PN itu dilihat jelas cuba menekan rakyat yang ketika ini terhimpit akibat kemelesetan ekonomi hingga menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan.