Laksana Enakmen Anti Lompat antara Manifesto BN Perak

in Edisi Perak by

Saarani (tiga dari kanan) melancarkan Manifesto BN Perak di Bandar Meru Raya pada malam Selasa.

IPOH – BN Perak akan memastikan Enakmen Anti Lompat Parti dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) selaras dengan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di peringkat Persekutuan.

Perkara itu menjadi sebahagian daripada agenda Manifesto BN Perak yang dilancarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Saarani Mohamad di Bandar Meru Raya pada Selasa.

Saarani berkata, BN Perak juga akan meminda Enakmen Perlembagaan Negeri bagi melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari kumpulan minoriti dan golongan belia jika memperoleh majoriti dua pertiga.

Menurutnya, parti itu juga berjanji akan meneruskan peruntukan adil dan saksama kepada semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Secara umum, Manifesto BN Perak meletakkan satu matlamat iaitu Kestabilan Demi Kesejahteraan yang didukung oleh lima usaha, empat fokus serta menggariskan sebanyak 75 inisiatif yang akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

“BN Perak bertekad untuk memastikan kestabilan kerajaan sentiasa diutamakan bagi membolehkan ekonomi berkembang, pekerjaan dicipta, pelabur dibawa masuk dan membina naratif politik baharu yang menjamin kestabilan demi kesejahteraan rakyat dan negeri Perak.

“Dengan tekad dan semangat itu, BN Perak berikrar memperkenalkan beberapa inisiatif untuk memastikan kestabilan politik terus terpelihara,” katanya ketika berucap ketika pelancaran manifesto berkenaan.

Selain kestabilan politik, manifesto BN Perak turut menggariskan empat lagi usaha bagi merealisasikan agenda Perak Makmur Rakyat Sejahtera iaitu kepimpinan dan pentadbiran yang berintegriti dan cekap, kesejahteraan ekonomi, kemakmuran sosial serta pemerkasaan belia.

Menerusi usaha ketiga iaitu kesejahteraan ekonomi, Saarani berkata, BN Perak akan memastikan kejayaan pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030.

Katanya, kejayaan pelan tersebut dijangka akan menjana sekurang-kurangnya 200,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 5 tahun sekali gus menangani isu penghijrahan keluar anak-anak Perak.

Jelasnya, parti itu juga akan memastikan kemudahan awam yang berkualiti bagi segenap lapisan masyarakat, menerusi beberapa inisiatif.

Beliau berkata, antara inisiatif tersebut adalah mewujudkan pusat internet percuma di setiap kawasan DUN bagi menyebarluaskan penggunaan jalur lebar di seluruh Perak.

Selain itu, kerajaan BN akan menyediakan peruntukan RM210 juta untuk memperbanyakkan kemudahan rekreasi dan riadah selaras dengan Agenda Perak Sihat Sejahtera.

“Bagi menggilap potensi kepimpinan, seorang penasihat Menteri Besar dalam kalangan belia akan dilantik.

“Memperbanyakkan rumah-rumah transit, rumah sewa kerajaan dan memperluas program perumahan sewa serta beli kepada golongan memerlukan terutamanya golongan belia,” jelas beliau.