Manifesto Warisan Labuan gariskan 20 fokus utama

in Politik by

Calon Warisan bagi Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli (tiga, kiri) bergambar selepas sidang media bagi membentangkan manifesto parti sempena PRU15 di markas Warisan Labuan. – Foto Bernama.
LABUAN – Parti Warisan (Warisan) bahagian Labuan menggariskan 20 perkara sebagai fokus utama dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata calon Warisan Datuk Rozman Isli.

Beliau, yang juga penyandang kerusi Parlimen Labuan berkata, 20 perkara itu (sekiranya dilaksanakan) boleh membantu melonjakkan pembangunan ekonomi pulau bebas cukai berkenaan seterusnya membawa kepada kesejahteraan rakyat.

Katanya, projek pembangunan dalam Pelan Pembangunan Labuan 2030 harus terus dilaksanakan bagi mencetuskan pelbagai pembangunan ekonom selain keperluan untuk mengukuhkan status bebas cukai yang memberi manfaat kepada Labuan.

“Dalam manifesto ini, kita juga mahu melihat kepelbagaian ekonomi tanpa perlu bergantung kepada sektor minyak dan gas serta sektor perniagaan dan kewangan sekali gus membuka peluang pekerjaan yang tidak terhad kepada kedua sektor ini sahaja.

“Manifesto ini juga menekankan kepada keperluan untuk memulihkan industri logistik dan perkapalan termasuk aktiviti perdagangan barter,” katanya selepas melancarkan Manifesto Parti Warisan Labuan@Agenda Labuan di sini pada Selasa.

Rozman berkata, usaha berterusan juga perlu bagi menjadikan Labuan sebagai hab pendidikan serantau dengan menaik taraf Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sebagai universiti penuh.

“Kita juga mahu melihat usaha mempergiatkan lagi sektor industri kecil dan sederhana yang mampu menghidupkan aktiviti ekonomi seterusnya membuka peluang pekerjaan,” katanya.

Rozman berdepan lima pencabar iaitu calon BN-UMNO Datuk Bashir Alias; Suhaili Abdul Rahman (Perikatan Nasional-Bersatu); Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM); Datuk Dr Ramli Tahir (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Ramle Mat Daly (Gerakan Tanah Air-Pejuang).

Labuan kini mempunyai 44, 484 pengundi berbanding 28,356 pada PRU14. – Bernama.