MCA stabil, tak timbul isu berpecah: Ka Siong

in Politik by

Ka Siong (tiga dari kanan) bersama calon BN yang bertanding di kerusi Parlimen Indera Mahkota ketika mengadakan lawatan, pada Selasa.

KUANTAN – Persepsi pihak luar yang melihat MCA berpecah sebenarnya adalah tidak benar kerana perkara itu tidak pernah berlaku.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan sehingga kini tidak berlaku serpihan mahupun krisis dalam pemimpin dalam parti terbabit.

Sebaliknya, kata beliau, semua kepimpinan MCA sentiasa bekerja dalam satu pasukan dalam usaha menggempur semua kawasan yang ditandingi BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“MCA mana ada berpecah, sejak saya menjadi presiden tiada satu pun puak serpihan. Kita memang bekerja sebagai satu pasukan, apa juga perkara kita bincang secara musyawarah.

Jadi, kepimpinan MCA tidak ada krisis dan isu dalam parti. Malah kita bekerja untuk rakyat dan saya rasa dalam soal ini, parti BN dan MCA adalah parti kesayangan bersama.

“Dalam BN kita ada parti komponen antara parti UMNO, MCA dan MIC. Kita ada asas dan tidak nampak kecelaruan. Malah kita serasi serta komitmen tinggi untuk memastikan kemenangan pada pilihan raya kali ini,” katanya demikian pada sidang akhbar di Pejabat MCA Indera Mahkota di sini pada Selasa.

Ka Siong hadir ke Parlimen Indera Mahkota bagi memberikan sokongan kepada Datuk Quek Tai Seong selaku calon di parlimen berkenaan.

Sokongan turut diberikan kepada calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid dan DUN Semambu, Khairul Hisham Omar.

Ditanya peluang MCA mampu memenangi kerusi Parlimen Indera Mahkota serta kerusi DUN Teruntum, beliau menjelaskan BN mampu melakukan kejutan berikutan potensi ketiga-tiga calon yang dipertaruhkan di kawasan berkenaan.

“Kita yakin ini satu gandingan iaitu tiga serangkai yang sangat intim, hubungan akrab dan saya berharap akan berlaku satu kejutan untuk kita merampas kembali kerusi yang telah tewas beberapa penggal lalu.

“Selain itu, kita melihat potensi yang ada pada calon yang dipertaruhkan dan kita sudah ke arah jalan yang betul, semangat dan keakraban mampu untuk menyumbang kemenangan,” tegas beliau.

Mengulas momentum calon MCA di kerusi Parlimen dan DUN, beliau percaya kerusi yang ditandingi mampu dimenangi.

Bagaimana ujar Ka Siong, calon perlu sentiasa berwaspada untuk memastikan kejayaan berpihak kepada BN.

“Jangan terlalu yakin, di kawasan saya pun (Ayer Hitam), saya anggap peluang 50-50, barulah berjuang dan bertungkus lumus untuk menang,” ujar beliau.