Pemain e-sukan berentap di Bera

in Edisi Pahang by

Lukman

BERA – Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda GEGOR Bera bakal menyaksikan 190 peserta dari 38 pasukan berentap dalam acara sukan elektronik (e-sukan) pada Sabtu ini.

Karnival anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Miat Quadra E-Sport Club itu yang akan dijalankan di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini turut menyaksikan pelbagai acara menarik diadakan pada hari tersebut.

Pengerusi Miat Quadra Esport, Mohamad Lukman Afiq Mohamad Faizal berkata, orang ramai juga berpeluang menyaksikan kehebatan Team Haq Esports Club yang muncul juara perlawanan Liga Profesional Mobile Legend (MPL) MY musim ke-10 baru-baru ini.

Menurutnya, pasukan tersebut akan mewakili Malaysia di Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4, pada tahun hadapan di Jakarta, Indonesia.

“E-sukan Malaysia ini bukan sekadar dijadikan hobi, tetapi boleh dijadikan kerjaya sukan dalam kalangan anak muda, malah ramai pemain muda berjaya di peringkat antarabangsa.

“Acara yang julung kali dianjurkan ini menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM25,000 termasuk cabutan bertuah bernilai sehingga RM3,000, selain berpeluang memenangi telefon pintar,” katanya pada sidang media di Dewan Kompleks UMNO, di Padang Luas di sini pada Selasa.

Karnival tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ujar Lukman lagi, anak muda di daerah itu dan sekitarnya juga berpeluang merebut peluang kerjaya menerusi program Jamin Kerja.

“Karnival ini juga mendapat usahasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM),” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu,selain menampilkan acara e-sukan (Santai e-Games), turut berlangsung konsert Keluarga Malaysia pada hari tersebut.

“Kami mengalu-alukan penyertaan anak muda Bera dan kawasan sekitar untuk memeriahkan Santai e-Games dan Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda GEGOR Bera pada Sabtu ini,” ujarnya.

Antara acara lain yang turut diadakan ialah pemeriksaan kesihatan dan motosikal, gerai dan ‘foodtruck’ disediakan kepada pengunjung karnival itu nanti.