Pindaan hanya tambah pengundi, tidak atasi kekangan sistem

in Nasional by

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pindaan undang-undang membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia di dalam dan luar negara mengundi, namun halangan dalam sistem sedia ada yang tidak diatasi mengekang sebahagian daripada mereka menunaikan tanggungjawab itu.

Pindaan membabitkan penurunan usia layak mengundi serta pendaftaran pemilih secara automatik yang berkuat kuasa Disember lepas, menyaksikan jumlah pengundi dalam Daftar Pemilih meningkat 6.2 juta orang kepada lebih 21 juta pengundi yang akan memilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Walaupun ramai pengundi baharu berkongsi keterujaan mereka untuk mengundi di media sosial, pakar dan aktivis pilihan raya percaya tidak ramai yang akan dapat berbuat demikian, dan ini bukan disebabkan mereka tidak berminat. Sebaliknya, sesetengah daripada mereka akan berdepan kekangan untuk berbuat demikian selagi mekanisme pengundian tidak diubah.

“Kami berpandangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh tingkatkan lagi usaha untuk tambah baik akses rakyat – yang kini perlu mengatasi beberapa halangan – mengundi,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann.

Bagi pengundi di luar negara, antara halangan yang mereka hadapi ialah masa dan sistem pilihan raya yang sudah lapuk. Apatah lagi dijangkakan tidak sampai 10 peratus daripada 1.86 juta rakyat Malaysia yang bermastautin di negara asing akan mengundi kali ini, sekalipun kesemua mereka layak berbuat demikian.

Pengundi dalam negara juga berdepan kesukaran untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Ini kerana mereka perlu pulang ke kawasan pilihan raya masing-masing. Mereka juga tidak ada banyak pilihan sekiranya tidak boleh pulang.

Ringkasnya, sekalipun pindaan perlembagaan dan undang-undang pilihan raya membolehkan lebih ramai layak mengundi, ia tidak mempermudah sistem pengundian.

Justeru kata aktivis, sistem pilihan raya perlu ditambah baik termasuk melakukan beberapa perubahan yang memudahkan rakyat mengundi dan kertas undi mereka turut menyumbang kepada keputusan pemilihan.

Sebelum ini, rakyat yang menetap di negara jiran yang berkongsi sempadan dengan Malaysia seperti Singapura, serta tidak menghabiskan masa selama 30 hari di tanah air dalam tempoh lima tahun sebelumnya, tidak layak mengundi secara pos. Kekangan itu telah diatasi, namun kaedah pengundian masih sama.

Setiausaha Agung Global Bersih, Nirmala Devi Windgaetter memberitahu, walaupun pendaftaran untuk menjadi pengundi pos kini boleh dibuat dalam talian, masih ada masalah dalam sistem pilihan raya, terutamanya kerana tempoh berkempen hanya 14 hari sebelum pengundi memilih pada hari berikutnya.

“SPR juga perlu bekerja sepantas dan secekap sistem. Tidak cukup kalau sekadar ada sistem yang bagus. Ia perlukan pelaksanaan yang cekap agar sistem berkesan,” katanya.

Di bawah sistem semasa, pengundi pos luar negara perlu menunggu SPR mencetak kertas undi yang hanya dilakukan selepas tamat penamaan calon dan mengeposnya kepada mereka. Bergantung di mana pemilih berada, kertas undi itu boleh mengambil masa lebih seminggu untuk sampai di tangan mereka.

Sebaik sampai, mereka perlu mengisi borang dan memangkah calon pilihan. Kemudian mereka perlu dapatkan saksi yang juga warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas untuk mengesahkan yang mereka adalah pengundi pos yang dimaksudkan.

Selepas itu, pengundi perlu memastikan kertas undi mereka sampai di tangan pegawai pengurus pilihan raya (RO) di kawasan pilihan raya masing-masing sebelum 5.30 petang pada hari pengundian, iaitu 19 November ini bagi PRU15. Pengundi luar negara ini tidak akan dimaklumkan sama ada undi mereka sempat tiba dalam tempoh berkenaan.

“Inilah situasi kami rakyat Malaysia di luar negara, terperangkap dalam kaedah mengundi yang sudah ketinggalan zaman,” kata Nirmala yang menetap di Jerman.

Sehubungan itu, beliau dan juga pakar lain berkata, SPR seharusnya memanfaatkan teknologi terkini bagi undi pos seperti membenarkan pemilih memuat turun dan mencetak kertas undi serta sampul yang sudah siap tertulis nama RO terlibat. Pengundi juga sepatutnya boleh mengesan pergerakan kertas undi mereka.

Cadangan lain ialah melanjutkan tempoh pengundian agar kertas undi dapat dipastikan tiba dalam jangka masa yang ditetapkan, selain menggunakan kedutaan dan konsulat sebagai tempat mengundi bagi anak rantau.

Penganalisis pilihan raya, Dr Manimaran Govindasamy berkata, kakitangan kedutaan kemudian akan menjumlahkan kertas undi serta menghantar keputusan ke kawasan pilihan raya yang berkenaan secara dalam talian.

“Duta dan pesuruhjaya tinggi boleh memainkan peranan sebagai RO,” katanya.

Prof James Chin daripada University of Tasmania pula mengesyorkan agar kedutaan dan konsulat mewujudkan terminal pengundian elektronik.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak fikir kerajaan akan melaksanakan kemudahan sedemikian sekalipun kaedah itu umumnya selamat dengan ciri-ciri keselamatan yang dapat memastikan jumlah undi yang tepat. Keputusan juga boleh diaudit.

“Orang Malaysia ini agak pelik. Mereka tidak percaya dengan e-pengundian,” katanya.

Perluas undi pos

Selain itu, ramai aktivis mahu pengundian secara pos diperluas kepada rakyat Malaysia dalam negara, khususnya mereka yang tinggal jauh dari kawasan pilihan raya masing-masing.

Menurut analisis data yang dilakukan oleh pengguna Twitter @Thevesh, jumlah pemilih di Kelantan dan Terengganu jauh lebih besar berbanding jumlah penduduk di kedua-dua negeri itu, menandakan kebanyakan mereka tinggal dan bekerja di luar negeri masing-masing.

Di Kelantan misalnya, lebih 100 orang tinggal di luar kawasan Parlimen yang mereka undi. Bagi PRU15, mereka ini harus pulang untuk mengundi. Sesetengahnya mungkin tidak dapat berbuat demikian kerana kos perjalanan serta musim monsun. Analisis itu boleh diakses di https://twitter.com/thevesh/status/1589230420004335616?s=46&t=vPdHV2VNi4Khz7Avlfjp8Q

Pada masa ini, hanya petugas tertentu seperti polis, tentera, pengamal media dan juruletrik boleh mengundi secara pos. SPR juga telah digesa agar membenarkan rakyat yang tinggal jauh dari kawasan mengundi, melunaskan tanggungjawab mereka melalui undi pos.

Manimaran yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya 2018, memberitahu Bernama jawatankuasa itu mencadangkan agar kemudahan untuk pengundi yang tidak boleh pulang mengundi dipertingkat.

“Tingkatkan kemudahan untuk rakyat mengundi dengan segala cara. Misalnya, kita perluas undi pos… kepada mereka yang bekerja sebagai (kru penerbangan), kakitangan hospital swasta, kesemua mereka ini perlu diberikan kemudahan undi pos,” katanya.

Tambah beliau, SPR sepatutnya terus mempertingkat dan menambah baik sistemnya bagi memastikan semua pemilih boleh mengundi dan kertas undi mereka dikira kerana PRU hanya ‘lima tahun sekali.’

Aktivis turut menyarankan golongan seperti pesakit di hospital, orang kurang upaya dan pesakit terlantar serta mereka yang menjalani hukuman penjara singkat, dibenarkan mengundi pos.

Banyak negara bertindak memperluas undi pos disebabkan Covid-19. Sebahagian negeri di Amerika Syarikat menggunakan undi pos sebagai kaedah utama mereka memilih.

Pemerhati politik dan pakar keselamatan pilihan raya menyifatkan undi pos sebagai antara kaedah paling selamat kerana sistem itu meninggalkan jejak yang boleh dikesan serta mempunyai beberapa lapisan perlindungan daripada penipuan. Jika kertas undi pos itu dibega sekalipun, ia tidak mungkin berlaku dalam jumlah yang cukup besar hingga boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Fann bagaimanapun tidak bersetuju undi pos dibenarkan kepada rakyat dalam negara kerana khuatir boleh terdedah kepada unsur rasuah atau pengundi hantu.

Sebaliknya, beliau lebih suka jika rakyat yang tidak boleh pulang mengundi, khususnya pengundi Malaysia Timur yang bekerja di Semenanjung, dibenarkan mengundi awal. Pada masa ini hanya anggota polis dan tentera serta pasangan mereka dibenarkan berbuat demikian.

Dianggarkan setengah juta warga Sabah dan Sarawak bekerja di Semenanjung Malaysia. Di bawah undang-undang sedia ada, mereka perlu pulang ke negeri masing-masing, yang mana perjalanan melibatkan kos yang agak tinggi, untuk mengundi.

Manimaran bersetuju undi awal boleh membantu masalah mengundi yang dihadapi warga Malaysia Timur. Bagaimanapun, beliau menegaskan adalah lebih baik proses mengundi dipermudah berbanding hanya membenarkan akses kepada kelompok-kelompok tertentu.

“Kita perlu perluas semua kemudahan – undi pos, undi awal – kerana kita perlu tingkatkan jumlah yang keluar mengundi,” katanya, menambah langkah itu akan meningkatkan keyakinan rakyat kepada SPR dan juga sistem pilihan raya. – Bernama