PN tubuh ejen khas pantau ahli kempen untuk parti lain

in Politik by

Hamzah – Foto Bernama

TASEK GELUGOR – Perikatan Nasional (PN) akan menempatkan ejen khas untuk memantau ahli parti dalam gabungan itu yang bertindak membantu parti lain berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sekiranya ejen khas itu mendapat laporan dan mempunyai bukti terdapat ahli dalam gabungan tersebut berkempen untuk parti lain, mereka bakal berdepan tindakan dilucutkan keahlian.

“Kita akan menempatkan beberapa ejen khas untuk memantau semua ahli parti komponen yang bertindak membantu parti lawan berkempen pada PRU15… Kami juga akan kesan ahli parti (yang berkempen untuk parti lain) berdasarkan laporan yang dihantar oleh ketua atau pengerusi kawasan masing-masing.

“Dakwaan itu perlu disertakan dengan bukti. Sekiranya siasatan mendapati mereka membantu parti lain, kita akan terus ambil tindakan pelucutan keahlian,” katanya kepada pemberita malam ini.

Beliau berkata demikian selepas bertemu pengundi bersama calon PN daripada Bersatu bagi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Senangan di Teluk Air Tawar di sini.

Hamzah diminta mengulas tindakan yang bakal diambil PN sekiranya ahli dalam gabungan itu membantu parti lain berkempen pada PRU15. – Bernama