'Saya mahu beri khidmat cemerlang' – Cikgu Ayu

in Politik by

Cikgu Ayu

TANJONG KARANG – Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Tanjong Karang, Siti Rahayu Baharin mahu memberikan khidmat cemerlang kepada rakyat di kawasan itu meskipun bukan calon tempatan.

Menurut Siti Rahayu atau lebih mesra disapa Cikgu Ayu, faktor bukan calon tempatan tidak menghalang beliau untuk terus berbakti kepada penduduk.

Beliau berkata, pada masa ini ramai ahli Parlimen yang bukan merupakan anak tempatan tetapi mampu memberikan khidmat cemerlang.

“Kita merupakan anak Malaysia dan wajib berbakti kepada semua ahli masyarakat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Ditanya mengenai peluang beliau untuk meraih sokongan pengundi di Parlimen Tanjong Karang yang merupakan kubu kuat BN, Cikgu Ayu berkata, cabaran itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berusaha bagi memastikan kemenangan pada 19 November nanti.

Cikgu Ayu mengakui, kawasan itu bukanlah mudah untuk ditawan, namun boleh dilakukan dengan kempen secara beradab dan bersungguh-sungguh.

“BN mempunyai pengikut yang percaya kepada (perjuangan) mereka, kepercayaan ini bukan mudah untuk dibolak-balikkan, tetapi saya percaya dengan adab dan kesungguhan serta nilai dibawa ke Tanjong Karang.

“Saya mahu pengundi di sini menilai dan memilih saya dengan apa yang saya hendak bawa ke Tanjong Karang,” katanya.

Jelas beliau, kempen politik yang dibawa tidak mahu bercakap buruk terhadap lawan kerana masing-masing mempunyai kelebihan.

“Calon lawan merupakan individu yang kredibiliti dihantar oleh parti masing-masing dan saya perlu berlawan dengan cara terhormat dan buktikan saya adalah yang terbaik daripada calon lain” katanya.

Pada PRU15, Cikgu Ayu berdepan saingan lima penjuru melibatkan Azlan Sani Zawawi (Pejuang-Gagasan Bangsa), Mohd Rosni Mastol (Bebas), Kapt (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN) dan Datuk Habibah Mohd Yusof (BN).