Tunai janji bina jambatan Pulau Bum-Bum-Semporna

in Politik by

Mohd Yunus dan Ramzah.Penduduk Pulau Bum-Bum bergantung kepada perkhidmatan bot penambang bagi menghubungkan antara pulau ke Pekan Semporna.

SEMPORNA – Sudah berpuluh tahun penduduk di Pulau Bum-Bum dijanjikan pembinaan jambatan, tetapi janji hanya tinggal janji dan sehingga kini kelibat jambatan masih belum kelihatan di tengah lautan menghubungkan antara pulau berkenaan ke Pekan Semporna.

Isu ini sekali lagi antara yang disebut-sebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh pelbagai pihak kepada lebih 2,000 penduduk pulau berkenaan dengan harapan jambatan itu dapat dibina selepas siapa yang berjaya membentuk kerajaan.

Razmah Laja Adil, 42, antara penduduk di pulau berkenaan yang sangat berharap jambatan itu dapat dibina bagi memudahkan seluruh mereka menikmati kemudahan yang dinanti-nantikan selama ini.

Menurutnya, selama ini penduduk terpaksa bergantung kepada perkhidmatan bot penambang untuk berulang alik antara pulau dan Pekan Semporna yang mengambil masa kurang daripada 10 minit perjalanan selain terpaksa menggunakan perkhidmatan kereta sorong untuk mengangkut barangan mereka dari Jeti Balembang.

“Sebenarnya penduduk terbeban dengan kos yang tinggi jika berulang alik setiap hari dari pulau ke tanah besar kerana kami terpaksa membayar sehingga lebih RM20 iaitu kos bot penambang RM4, kos menaiki bas RM10 dan jika kami bawa barang dari pekan terpaksa juga menggunakan perkhidmatan kereta sorong dengan bayaran RM5 dari jeti sehingga ke stesen bas.

“Jadi saya sangat berharap jambatan dari Jeti Balembang ke Semporna dapat dibina kerana ini bagi mengurangkan kos penduduk kampung untuk berulang alik termasuk kecemasan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pulau Bum-Bum.

Ramzah yang menetap di Kampung Nusalalung berkata, janji mengenai jambatan ini sudah lama didendangkan dan penduduk kampung terus menanti.

“Sekarang PRU15 tidak lama lagi, jadi kita tunggu dan lihat siapa yang pegang kerajaan, siapa yang tunaikan janji,” katanya.

Menurut Ketua Kampung Gelam-Gelam, Mohd Yunus P Madjirin, jika jambatan itu dapat dibina maka secara langsung kemudahan dan sumber ekonomi untuk penduduk dapat dibawa masuk ke pulau ini.

“Ketika ini kami terpaksa membeli bekalan air bersih dari Pekan Semporna kerana tiada air paip yang disambungkan terus dari tanah besar dan hanya bergantung dengan air perigi di pulau ini di mana tahap kebersihannya yang kurang terjamin.

**media[1974569]**

“Jadi bagi saya amat penting jika jambatan ini dibina menghubungkan tanah besar ke pulau ini, sekaligus kami akan menerima beberapa sumber atau kemudahan lain termasuk dari segi pelancongan dan bekalan air air bersih,” katanya.

Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, peruntukan untuk membina jambatan itu sudahpun diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa pemerintahan beliau ketika itu.

“Semasa saya jadi menteri di Persekutuan, Pak Lah umumkan di peringkat Pusat menerusi belanjawan tapi malangnya tidak dilaksanakan. Begitu juga semasa kita jadi kerajaan, saya telah menuntut tetapi 22 bulan saja, kerajaan berubah.

“Saya yakin sekiranya berlangsung sehingga lima tahun untuk satu penggal, kita akan berupaya melaksanakan jambatan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditanya isu jambatan Pulau Bum – Bum.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan (Warisan) bertanding sekali lagi bagi mempertahankan kerusi miliknya dan bakal ditentang tiga pencabar lain di mana isu jambatan antara yang disuarakan calon lain sebelum ini.