Universiti al-Quran dan hadis pertama di Kelantan

in Politik by

Mohamad Suparadi (tengah) beramah mesra dengan orang ramai semasa program turun padang di Pasar Besar Tanah Merah pada Selasa.

TANAH MERAH – Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor akan mewujudkan sebuah Universiti al-Quran dan Hadis pertama di Kelantan jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau yang mewakili parti PKR itu berkata, dengan adanya universiti tersebut, anak tempatan di negeri ini tidak perlu ke Jordan, Mesir, atau luar negara untuk melanjutkan pengajian berkait dengan agama.

“Ini merupakan cita-cita saya dari kecil, untuk mewujudkan sebuah universiti berbentuk sentimental Islam sebenar di bumi serambi Makkah.

“Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih menjadi Perdana Menteri ke-10, saya akan minta dengan beliau untuk menjadikan Tanah Merah sebagai hab pendidikan, anak-anak muda tidak perlu lagi keluar jauh untuk menimba ilmu,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau sebelum itu mengadakan program turun padang di Pasar Besar Tanah Merah di sini.

Menurut Mohamad Suparadi, Tanah Merah merupakan bandar kedua kuasa beli paling tinggi iaitu lebih 150,000 orang selepas Kota Bharu.

Tambahnya, disebabkan tiada perancangan rapi Tanah Merah tidak dibangunkan dengan baik walaupun ia sebuah bandar berpotensi.

Mohamad Suparadi akan bertembung dengan empat lagi calon pada PRU15 ini iaitu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Perikatan Nasional), Bakri @ Mohd Bakri Mustapha (BN), Mohd Nasir Abdullah (Putra) dan Nik Sapeia Nik Yusof (Bebas).

Pada PRU14 lalu, Ikmal Hisham mewakili BN memenangi kerusi Parlimen Tanah Merah dengan majoriti 2,929.