BN: Kempen berhemah, berdisiplin di Permatang Pauh

in Politik by

Mohd Zaidi (kanan) menunjukkan ikrar yang akan dilaksanakan olehnya sekiranya rakyat Permatang Pauh Berubah pada PRU15 kali ini.

PERMATANG PAUH – BN Permatang Pauh memberi jaminan akan menjalankan kempen dengan penuh berhemah, berdisiplin serta tertib bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Calon BN Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, pihaknya tidak akan melakukan sebarang perkara di luar daripada kebenaran undang-undang sepanjang tempoh berkempen ini.

Malah beliau mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sekiranya jentera mahupun penyokongnya bertindak di luar batasan sehingga mengganggu gugat keharmonian masyarakat di kawasan berkenaan.

“Kalau ada ahli-ahli kami atau penyokong BN yang bertindak di luar batasan, saya minta pihak berkuasa ambil tindakan. Saya tidak peduli siapa pun kerana saya mahu menjalankan kempen ini berdasarkan fakta, maklumat dan tawaran yang terbaik untuk rakyat Permatang Pauh.

“Itu yang paling penting dan bukan fitnah, provokasi melampau, cerca mencerca yang dilakukan. Jadi saya minta pihak lawan dapat jawab juga dengan fakta,” katanya pada sidang akhbar di Kubang Semang, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab fitnah dan provokasi yang dibuat penyokong Pakatan Harapan (PH) sehingga berlaku kekecohan semasa berkempen di tapak Pasar Malam Penanti, di sini pada petang Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mengecam kempen ganas yang digunakan calon BN di Permatang Pauh sehingga menyebabkan kekecohan berlaku di tapak Pasar Malam Penanti pada petang Isnin.

Ketua Penerangannya, Amir Ghazali berkata, insiden itu terjadi kira-kira jam 6.45 petang selepas penganjur tapak pasar malam bertindak menghentikan ceramah dilakukan Mohd Zaidi di laluan masuk pasar malam terbabit.

Amir mendakwa, kempen calon BN itu bersama lebih kurang 40 jentera tidak mendapat permit atau sebarang kelulusan sama ada daripada polis mahupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menjelaskan mengenai perkara itu, Mohd Zaidi berkata, timbul fitnah kononnya beliau menumbuk peniaga pasar malam terbabit sedangkan ketegangan yang berlaku masih terkawal tanpa sebarang pergaduhan.

Beliau berkata, isu itu sengaja dimainkan pihak lawan selepas mereka tergugat dengan sambutan hebat terhadap calon dan jentera BN pada hari kejadian.

“Boleh lihat dalam video yang tular itu apabila saya beri ucapan ramai yang berhimpun untuk mendengar apa yang ingin kita sampaikan tetapi apabila tiba giliran PH kelihatan sudah tak ada orang dah.

“Walaupun lori Ayuh Malaysia yang dibawa mereka harga lebih mahal dan hebat, tetapi saya hanya berucap di atas pacuan empat roda namun masyarakat di sini lebih ramai yang suka kenderaan saya berbanding lori mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menafikan membuat sebarang provokasi malah sebelum kekecohan berlaku beliau hanya menceritakan fakta di atas kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan bersebelahan lori ‘Ayuh Malaysia’.

“Ketika berucap, saya dengar petugas-petugas mereka minta jentera BN supaya ubah kenderaan kami.

“Saya anggap ini satu tindakan yang tidak adil kepada saya, sepatutnya dalam tempoh berkempen mereka sepatutnya memberi peluang untuk bercakap kerana saya tak halang lalu lintas, saya tak lama pun di situ.

“Tapi bila ada provokasi macam ini, saya turun untuk berjumpa mereka. Nampak macam tegang sikit tapi semuanya terkawal kerana mereka adalah kawan-kawan Permatang Pauh.

“Jadi saya turun dari kenderaan itu kerana saya nak jumpa dia dan beritahu memang kami nak ubah kenderaan lagipun saya dah habis berceramah namun timbul pandangan lain kerana suara yang dikeluarkan agak tinggi tapi tiada sebarang pergaduhan yang berlaku,”katanya lagi.

Mohd Zaidi berkata, disebabkan kempen pada petang Isnin mendapat sambutan ramai menjadikan insiden itu menjadi ‘lain sikit’ namun sengaja diperbesarkan termasuk melakukan sidang media semata-mata mahu memanaskan isu terbabit.

Katanya, apa yang berlaku bukan masalah besar dan sepatutnya tidak berpanjangan namun dakwanya PH sekali lagi cuba membuat provokasi serta menuduh kononnya beliau bertindak seperti samseng pada hari kejadian.

Ditanya sama ada beliau telah dipanggil oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes terbabit, Mohd Zaidi berkata, beliau sedia berikan kerjasama sekiranya dipanggil kerana yakin pihaknya menjalankan kempen mengikut segala peraturan yang ditetapkan.